Para penyiasat SPRM yang mengendalikan kes bekas pengarah perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid dilaporkan sedang meneliti kaitan wang AS$12 juta yang diselewengkan daripada dana pilihan raya dan 1MDB.

Menurut New Straits Times, wang AS$12 juta itu dibawa masuk dalam bentuk tunai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pertengahan April, 2018 didakwa bagi kegunaan pilihan raya umum ke-14.

Laporan itu menjelaskan para penyiasat masih menjejaki aliran wang itu tetapi mempunyai asas untuk yakin wang itu berkait dengan 1MDB.

Hasanah, yang juga bekas pengarah Malaysian External Intelligence Organisation (MEIO) ditangkap pada petang Selasa lalu selepas SPRM menahan reman bekas timbalannya dan enam kakitangan pentadbiran dan pegawai tadbir diplomatik (PTD) mengenai kehilangan dana pilihan raya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pengawal keselmatan di Jabatan Perdana Menteri didakwa mengambil RM3.5 juta wang tunai pada malam 9 Mei apabila mereka mendapat tahu BN kalah pilihan raya.

Wang itu dikatakan sebahagian daripada dana pilihan raya Umno.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas perkaitan antara dua kes ini.

Pada ketika itu, SPRM menahan 17 anggota keselamatan berhubung kes itu dan seterusnya membuat lebih banyak tangkapan.

Menjelang PRU14, Hasanah juga telah menulis kepada Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) yang menggesa Amerika Syarikat untuk menyokong pentadbiran perdana menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan BN hanya mendapat kemenangan tipis dalam pilihan raya umum.

Kemudian, Hasanah memberitahu pemberita surat tersebut tiada kena-mengena dengan Najib.

Sumber : MK