Guan Eng - Duit Cukai Hilang RM16b, Najib Tak Payah Salahkan Sistem Akaun

Bekas menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak masih membuat dakwaan palsu bahawa RM16 bilion cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), yang tidak dibayar balik sejak enam tahun lepas sebenarnya tidak hilang, kerana standard perakaunan yang digunakan adalah berdasarkan tunai terubah (modified cash accounting) dan bukannya standard perakaunan Akruan (accruals accounting standard).

Kenyataan Najib seakan-akan menyalahkan sistem perakaunan yang digunakan untuk cuba memberikan gambaran bahawa RM16 bilion cukai tidak terbayar sebenarnya tidak hilang, adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik sejak lebih enam tahun sebelum ini, tetap kehilangan RM16 bilion daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah (modified cash basis) ataupun sistem akruan (accrual) digunakan.

Berdasarkan LHDNM dan disahkan oleh Jabatan Akauntan Negara, yang juga menggunakan sistem perakaunan tunai terubah seperti mana yang dinyatakan oleh Najib, adalah didapati bahawa baki kredit yang belum dibayar balik kepada pembayar cukai adalah berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei 2018 seperti berikut:


Sebanyak 1.65 juta individu dan syarikat dihutang RM16 bilion cukai tidak bayar balik sejak lebih enam tahun lepas. Keadaan begitu serius apabila Ketua Pengarah LHDNM ada menulis surat secara rasmi kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar pada 2016, untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil peduli oleh Dr Mohd Irwan.

Tunggakan besar bayaran balik sebanyak RM16 bilion sehingga melebihi enam tahun ini berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan, yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon oleh LHDNM.

TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah seksyen 111B Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun Wang Yang Disatukan, bagi tujuan pembayaran balik cukai.

Perlu ditegaskan bahawa di bawah seksyen 111B(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan ke TBBC.

Soalan penting yang harus dijawab oleh Najib ialah mengapa beliau membenarkan RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik ini, tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa yang ditetapkan di bawah undang-undang.


Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan “pecah amanah” di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan awam ini.

Lim Guan Eng
Menteri kewangan
Ahli Parlimen Bagan.
Sumber : MK



Post a Comment

1 Comments