Hari Pertama SST - Ini Respon Peniaga


Peniaga dan pengusaha pasar raya masih menunggu makluman pihak pembekal berhubung harga baharu barangan walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan mulai hari ini

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota semalam mendapati kebanyakan pasar raya dan restoran masih belum membuat sebarang pertukaran harga jualan barangan sehingga mendapat makluman harga baharu daripada pembekal selewat-lewatnya minggu hadapan namun harga barangan yang bakal dikenakan cukai SST sudah berada dalam sistem maklumat pangkalan data perniagaan mereka.

Seorang penyelia di sebuah pasar raya barangan keperluan di Cheras, yang dikenali sebagai Aswad, 24, berkata sehingga kini pihak syarikat masih mengekalkan harga lama iaitu pada harga sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Buat masa ini, harga barangan keperluan kami masih mengikut harga invois barangan terdahulu. Memang kami telah dimaklumkan mengenai SST, namun kami masih menunggu makluman lanjut daripada pihak pembekal pada harga baharu minggu hadapan (Isnin).

“Dalam resit pembayaran sekarang pun, memang telah dimasukkan ruangan untuk cukai, cuma tunggu arahan untuk dikemas kini sahaja minggu depan,” katanya ditemui Bernama hari ini.

Sementara itu, pekerja pasar raya dikenali sebagai Hanum di Jalan Tunku Abdul Rahman berkata pasar raya itu belum membuat sebarang perubahan harga SST kerana belum mendapat arahan daripada pihak pengurusan.

“Memang sudah tahu mengenai pelaksanaan SST esok (hari ini), tetapi tidak pasti sama ada harga turun atau naik, mungkin malam nanti baru dapat makluman,” katanya.

Dalam pada itu, promoter pasar raya, Rohila Mohd Rozan, 41, berharap dengan pelaksanaan SST kelak tidak akan membebankan pengguna terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah.

“(Bila) SST (dilaksanakan) sekiranya harga naik sedikit tidak mengapa tetapi jangan caj pada pelanggan kerana ia akan membebankan mereka…jangan jadi macam GST, harga barangan naik, cukai GST pun kena bayar, dua-dua pengguna perlu tanggung,” katanya.

Tambah beliau, setakat hari ini pihaknya masih belum menerima makluman mengenai harga baharu susulan pelaksanaan SST.

“Kalau harga naik kita masih tidak dengar tapi kalau harga turun ada lah, sebab sifar GST yang dikuatkuasakan pada 1 Jun lepas,” katanya.

Berkuat kuasa esok (1 Sept) SST akan dilaksanakan bagi menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

-- Bernama

Post a Comment

3 Comments

  1. Knp nak kenakan sst kpd pengguna cellphone prepaid? Aku tak undi PH utk ini. Dahlah harga minyak dan tol tak diKURANGkan. Skrg tambah cukai lg. Jgn permainkan rakyat yg undi PH

    ReplyDelete
  2. Beri runag kepda kerajaan urus negara ini. Jangan terlalu ,endesak. kekangan memang ada dan klita sebagai rakyat yang petriotik per;u berjiwa besar. yang penting kita sokonng kerajaan yang tidak menrompak wang negara.

    ReplyDelete