Pemilik Tahfiz Terkedu, Disaman RM4.3juta.. Semog Beliau Tabah & Ada Insan Membantu

Pemilik Maahad Tahfiz Al-Hashimi Datuk Adnan Hashim, bakal membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu yang memerintahkan pihaknya membayar ganti rugi RM4.3 juta kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.

Dalam satu rakaman video, Adnan akur dengan keputusan tersebut dan menganggap ia ujian dari Allah.

“Ini adalah ujian Allah. Kami terima. Kami akan bertindak mengikut panduan daripada Allah dan Al-Quran.

"Saya mohon doa daripada tuan-tuan dan puan-puan agar Allah kemudian akan takdirkan satu keadilan demi agama kita Islam,” katanya sambil menahan tangisan.

Tambah Adnan, tujuan beliau membuat rayuan adalah bagi memastikan kejadian tersebut tidak menggagalkan usaha pihak keluarganya untuk terus berbakti demi agama dan negara.

“Saya tidak mahu kejadian ini akan menggagalkan dan menurunkan semangat serta usaha yang dibuat pihak agama, terutama perjuangan tahfiz.

“Saya tidak mahu keluarga saya atau anak cucu saya yang bakal mengambil peranan dalam perjuangan ini, kecewa dan tidak akan meneruskan perjuangan yang amat penting untuk islam dan negara ini,” katanya.

Adnan berkata pengajaran tahfiz di sekolah miliknya adalah sistematik dengan niat membina anak bangsa yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Setiap tiga tahun saya ambil pelajar dan mengajar secara percuma dengan kos operasi sekitar RM40,000 ke RM60,000.

“Alhamdulillah, ini rezeki dari Allah... bukan milik saya,” katanya.

Pada masa sama beliau melahirkan rasa kecewa dengan tuntutan tersebut kerana beliau sudah sedaya upaya memperbetul keadaan termasuk memohon maaf, membantu dari segi kewangan kepada keluarga mangsa.

“Saya sendiri amat kecewa. Keluarga mangsa telah saya pujuk dan pelbagai aspek saya jaga, perbelanjaan pembedahan saya tanggung sekitar RM20,000.

“Sejak mangsa di hospital, saya bantu kewangan dan apabila mangsa keluar saya tempatkan mangsa dan seluruh keluarga menginap di rumah khas di maahad tahfiz. Saya mahu jadikan beliau duta Al-Quran apabila sembuh kelak dan beliau semakin sembuh.

“Mereka duduk sehingga bulan Jun. Selepas mereka keluar baru saya tahu adanya proses mahkamah yang baru bermula,” katanya.

Dalam keputusan, hakim Nazri Ismail berkata tiga daripada empat defendan iaitu Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, yang juga pemandu van, CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi, bertanggungjawab secara vikarius, untuk membayar kos tersebut kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18, dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46, selepas mangsa hilang upaya akibat kemalangan tersebut.

Pengetua maahad tahfiz itu, Mohd Khalidi Che Haron yang dinamakan sebagai defendan ketiga, tidak diperintahkan membayar kos berkenaan.

Sumber : AstroAwani

Post a Comment

0 Comments