Anugerah persetujuan itu adalah antara International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS sebagai pihak penuntut dan 1MDB serta Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai responden.
Di bawah persetujuan itu, Malaysia perlu membayar AS$5.78 bilion kepada IPIC dan pemegang amanah bon dalam tempoh lima tahun, jumlah wang yang ditakrifkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas yang diperoleh melalui cara yang menipu.
“Asas bagi cabaran perundangan Malaysia di Mahkamah Tinggi di London adalah bahawa Award Persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan ataupun dengan cara yang bertentangan dengan polisi umum.
“Permohonan mahkamah tersebut berkaitan dengan pengetahuan IPIC dan Aabar akan tuduhan yang serius yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, Najib Razak, yang juga merupakan tenaga penggerak dan pembuat keputusan yang utama di 1MDB.
“Pengetahuan mereka diperoleh, antara lainnya, tidak terkemudian daripada masa sidang media DOJ yang diadakan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch, pada Julai 2016 apabila beliau mengumumkan pemfailan beberapa guaman sivil oleh DOJ untuk membekukan aset-aset yang dibeli oleh penipu-penipu menggunakan hasil yang dicuri, dan secara kebiasaannya diperihalkan sebagai kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah moden, " kata Thomas dalam satu kenyataan hari ini.
Pertuduhan yang berat dan terperinci dalam dokumen-dokumen mahkamah DOJ, katanya telah mendapat publisiti global yang hebat, terutamanya dalam media politik dan perniagaan.
“Hal ini jelas sekali telah memasuki domain global umum pada Julai 2016. Najib Razak dikenal pasti sebagai MO1 dalam pliding-pliding DOJ.
“Mana-mana pembaca yang rasional yang membaca dokumen-dokumen tersebut dengan serta-merta akan menyedari peranan utama dia menipu 1MDB untuk manfaat dirinya sendiri, anak tirinya dan Jho Low,” katanya.
Berikut kenyataan penuh itu:
Mencabar Award Persetujuan Timbang Tara IPIC
1. Kerajaan Malaysia akan membuat permohonan kepada Mahkamah di England untuk suatu perintah bagi mengetepikan Award Persetujuan yang direkodkan pada 9 Mei 2017 oleh Tribunal Timbang tara yang bersidang di London. Kami berasa yakin bahawa kami mempunyai kes yang kukuh. Timbang tara tersebut, yang dijalankan di bawah Peraturan-peraturan London Court of International Arbitration, adalah antara International Petroleum Investment Company (“IPIC”) dan Aabar Investments PJS, selaku pihak-pihak menuntut, dengan 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan, selaku pihak-pihak responden.
2. Di bawah Award Persetujuan tersebut, Malaysia bertanggungan untuk membayar US$5.78 bilion kepada IPIC dan Pemegang Amanah Bon bagi tempoh lima tahun. Setakat ini, sejumlah US$1.46 bilion telah dibayar, dan bakinya US$4.32 bilion, dengan bayaran faedah seterusnya sebanyak US$50 juta perlu dibayar pada 11 November 2018. Pembayaran faedah yang serupa perlu dibayar secara berkala sehingga April 2022. Pembayaran-pembayaran akhir secara sekali gus, sebanyak US$1.8 bilion setiap satunya yang merupakan jumlah pokok dan faedah, perlu dibayar pada Mei dan Oktober 2022.
3. Asas bagi cabaran perundangan Malaysia di Mahkamah Tinggi di London adalah bahawa Award Persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan ataupun dengan cara yang bertentangan dengan polisi umum. Permohonan Mahkamah tersebut berkaitan dengan pengetahuan IPIC dan Aabar akan tuduhan yang serius yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak, yang juga merupakan tenaga penggerak dan pembuat keputusan yang utama di 1MDB. Pengetahuan mereka diperoleh, antara lainnya, tidak terkemudian daripada masa Sidang Media DOJ yang diadakan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch, pada Julai 2016 apabila beliau mengumumkan pemfailan beberapa guaman sivil oleh DOJ untuk membekukan aset-aset yang dibeli oleh penipu-penipu menggunakan hasil yang dicuri, dan secara kebiasaannya diperihalkan sebagai kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah moden.
4. Pertuduhan yang berat dan terperinci dalam dokumen-dokumen mahkamah DOJ telah mendapat publisiti global yang hebat, terutamanya dalam media politik dan perniagaan. Hal ini jelas sekali telah memasuki domain global umum pada Julai 2016. Najib Razak dikenal pasti sebagai “MO1” dalam pliding-pliding DOJ. Mana-mana pembaca yang rasional yang membaca dokumen-dokumen tersebut dengan serta-merta akan menyedari peranan utama dia menipu 1MDB untuk manfaat dirinya sendiri, anak tirinya dan Jho Low.
5. Dalam keadaan-keadaan tersebut, Malaysia mengambil kedudukan bahawa IPIC dan Aabar sedar akan penipuan Najib Razak. Sebarang sistem perundangan akan mendapati bahawa tidak mungkin dia telah bertindak demi kepentingan terbaik negaranya dan syarikatnya. Hakikatnya, dia tidak bertindak sedemikian. Penipuan merupakan asas yang mantap untuk mencabar award persetujuan atas sebab-sebab polisi umum.
6. Dengan sukacitanya kami melaporkan bahawa permohonan tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi di London pada hari ini. Malaysia akan menuntut bahawa akibat daripada penipuan tersebut, kita dibebaskan daripada sebarang tanggungan untuk membayar baki US$4.32 bilion kepada IPIC atau Aabar di bawah Award Persetujuan, dan tambahan daripada ini kita mempunyai hak untuk mendapatkan semula US$1.46 bilion yang telah dibayar
Malaysiakini
0 Comments