Utusan | Pemandu-pemandu teksi akan mengadakan demonstrasi aman di Putrajaya minggu depan bagi membantah cadangan kerajaan menggantikan bas-bas di stesen-stesen transit aliran ringan (LRT) dengan perkhidmatan Grab.

Penasihat syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya bersama pengusaha dan pemilik syarikat teksi lain akan mengadakan perbincangan untuk mengadakan demonstrasi aman selama dua hari itu, pada Isnin ini.

“Kami merancang mengadakan demonstrasi di Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan pada Rabu dan Khamis ini bagi membantah cadangan terbabit yang akan menutup rezeki pemandu teksi yang majoritinya orang Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua sedang mengadakan perbincangan dengan Grab bagi tujuan itu.

Shamsubahrin berkata, demonstrasi itu dijangka membabitkan kira-kira 3,000 pemandu teksi yang akan berarak dari beberapa lokasi di Lembah Klang ke Putrajaya.

“Kami akan mendapatkan permit daripada polis untuk mengadakan demonstrasi ini selepas pertemuan antara pengusaha teksi Isnin ini,” katanya.