Utusan | Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.

Guan Eng berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP justeru akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan bagi membincangkan perkara itu kerana menyifatkan ia tidak mencerminkan perjuangan parti.

"Kalau tahun pertama (menjadi kerajaan) kita terima gelaran ini, ini mungkin akan menimbulkan persepsi lain kepada rakyat. Kita hormat dan kasih kepada mereka yang hendak berikan gelaran tetapi macam di Melaka, Tun Ghaffar Baba lebih senang dipanggil sebagai Encik Ghaffar Baba.
"Malahan, Ketua Menteri Melaka dan Sabah juga tidak terima, mengapa pemimpin kita perlu terima? Jangan lupa Karpal Singh dan Lim Kit Siang tidak mahu gelaran kerana mereka hanya ingin berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Perak Kali Ke-18 di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, Guan Eng menggesa supaya ahli parti mencontohi pemimpin terdahulu termasuk Ghaffar yang hanya menerima pengiktirafan selepas beliau bersara selain tidak bertindak tanpa kelulusan parti.

Beliau berkata, tugas utama yang perlu diutamakan ketika ini ialah berkhidmat untuk rakyat selain menyelamatkan ekonomi.

"Kalau dipilih oleh rakyat  menjadi Yang Berhormat, itu sudah cukup. Bila saya sebut sebegini, perkara ini mungkin akan menyinggung perasaan ahli-ahli dan pemimpin tetapi saya rasa perkara ini juga akan disebut kalau Karpal Singh masih ada," katanya.