Tun M Sedia Letak Jawatan | Siapakah Pada Awalnya Mahu Tun M Menjadi PM ?

Zin Mahmud | Kecewa dengan sikap biadap beberapa hadirin dalam Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Langkawi, Ahad lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata:

“Saya hendak tolong, tapi kalau tak ada bantuan…saya pun tak boleh tolong juga. Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendiri. Tengok apa yang jadi.
“Saya bukan hendak jadi perdana menteri, saya dah bersara…orang panggil balik, jadi saya datang. Kalau tak hendak saya jadi perdana menteri, saya hari ini letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya.”

Walaupun kata-kata itu ditujukan kepada hadirin yang bertindak meninggalkan majlis ketika beliau bercakap sambil mereka mengeluarkan ungkapan kesat, tetapi ia boleh dilihat dari sudut kekecewaannya terhadap keadaan yang berlaku di negara ini.

Kepada pemandu teksi, Dr Mahathir jelas menunjukkan kesediaannya menolong dengan turut memenuhi undangan bagi menyertai majlis dialog itu. Sebagai perdana menteri, beliau mempunyai kedudukan lebih baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di Langkawi.

Malah menurutnya, beliau sudahpun mengarahkan menteri pengangkutan menyelesaikannya dengan mencari jalan supaya persaingan antara teksi dan perkhidmatan Grab adalah adil. Tetapi, beliau berterus-terang menyatakan perkhidmatan Grab tidak boleh dihalang seperti yang dituntut pemandu teksi.

Dr Mahathir sebenarnya tidak perlu mempedulikan keluhan mereka, beliau boleh saja serahkan masalah itu kepada menteri berkenaan. Maka, perdana menteri boleh tumpukan perhatiannya kepada masalah-masalah utama negara yang belum dapat diselesaikan serta mencartakan wawasan bagi masa depan.

Tetapi, sebagai wakil rakyat bertanggungjawab, beliau mengambil peduli masalah seharian penduduk kawasannya dengan kesedaran bahawa kedudukannya sebagai perdana menteri akan memudahkan sebarang usaha.

Sebab itu beliau mengungkit hakikat beliau bukan hendak menjadi perdana menteri semula kerana beliau telah bersara. Katanya, beliau menjadi perdana menteri kerana dipanggil balik.

Dr Mahathir berkata, kalau tidak mahu beliau jadi perdana menteri, tidak ada masalah baginya meletak jawatan pada hari itu juga.

Tentu kata-kata ini tidak ditujukan pada pemandu teksi Langkawi, ini kerana bukan mereka yang memanggil Dr Mahathir menjadi perdana menteri semula.

Tetapi, siapakah yang pada awalnya mahukan beliau menjadi perdana menteri? Adakah ahli PPBM yang mula-mula meminta beliau menjadi calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) atau pemimpin PH yang mengajak beliau mengetuai kerajaan?

Jadi, apabila beliau menyuarakan kekecewaannya, adakah ia ditujukan kepada PPBM atau PH? Tentunya bukan, kerana PPBM ditubuhkan selepas beliau tampil ke depan untuk mengetuai gerakan menentang Barisan Nasional.

Cadangan supaya beliau menjadi calon perdana menteri dibuat sebelum penubuhan PPBM. Ini kerana PPBM ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi tujuan itu, kemudian barulah diadakan rundingan kerjasama dan selanjutnya penyertaan PPBM dalam PH.

Dalam rundingan itu, pemimpin PKR, DAP dan Amanah diyakinkan PPBM supaya menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.

Jadi, boleh dipercayai orang yang mencadangkan dan mengajak beliau menjadi perdana menteri adalah sekumpulan tokoh yang mungkin kini sebahagian daripada pemimpin PPBM.

Perlu diingat walaupun isu 1MDB ini mula dikemukakan pihak pembangkang pada 2015 yang ketika itu terdiri daripada PKR dan DAP yang bergabung dalam Pakatan Rakyat, tetapi ia menjadi lebih serius apabila tokoh-tokoh Umno sendiri yang mempersoalkannya.

Tokoh-tokoh Umno yang terkemuka ini antara lain ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir. Mereka turut disokong sekumpulan tokoh veteran Umno, pesara kerajaan dan swasta yang bimbang kesan skandal 1MDB ini.

Mereka inilah yang mungkin merupakan pihak awal meminta Dr Mahathir menjadi perdana menteri semula. Beliau pula dapat diyakinkan untuk menerima tugas berat ini.

Dipercayai, golongan ini kini sama ada ialah ahli atau pendokong PPBM. Namun begitu, walaupun PH menang dan Dr Mahathir menjadi perdana menteri, tetapi prestasi PPBM tidak setanding PKR.

Kedua-dua parti ini bertanding bilangan kerusi hampir sama. DAP dan Amanah lebih berjaya dari segi nisbah kerusi yang dipertandingkan. Akibat daripada itu, kedudukan PKR dalam PH lebih dominan daripada PPBM.

Ini memberi tekanan kepada parti itu, bukan saja parti itu perlu bergantung kepada sosok Dr Mahathir untuk menjadi dominan, tetapi ia juga mengalami pilihan sempit bagi menyediakan pemimpin mengisi jawatan lantikan politik kerajaan.

Maka, untuk mengimbangi kedudukan dominan PKR, Dr Mahathir perlu bergantung kepada tokoh-tokoh Amanah untuk mengisi jawatan kosong kerajaan.

Sementara itu, kedudukan PPBM juga tidak kemas. Dengan Presidennya, Muhyiddin mengalami masalah kesihatan serta pemimpin pertengahan dan bawahan tidak memainkan peranan diharapkan, maka Dr Mahathir tidak dapat dokongan diperlukan.

Malah, struktur PPBM juga perlu dikemaskan. Ketika PH menghadapi pilihan raya kecil Port Dickson untuk membawa ketua umumnya ke Parlimen, barisan kepimpinan PPBM Negeri Sembilan dibubarkan untuk disusun semula supaya ia lebih berkesan.

Dalam pada itu, kedudukan parti-parti dalam PH pun tidak boleh diharapkan. PKR sendiri sedang melalui proses pemilihan yang menyaksikan saingan sengit di peringkat timbalan presiden antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang boleh memecahkan parti itu.

Dalam kesibukan dengan kerajaan baru, pemimpin-pemimpin DAP dan Amanah kurang memberi tumpuan kepada kedudukan parti masing-masing.

Sementara dalam kerajaan pula, daripada pelbagai peristiwa, terdapat kepercayaan ramai penjawat awam tidak komited sepenuhnya untuk mendokong pemimpin PH, lebih-lebih lagi apabila berdepan pemimpin PH dan lantikan politik yang kurang berwibawa.

Tetapi, paling tidak selesa ialah cakap-cakap politik bahawa Anwar mahu segera menjadi perdana menteri. Walaupun secara rasmi perkara ini tidak timbul, tetapi ia tetap dikatakan pemerhati politik.

Adakah kenyataan Dr Mahathir boleh meletak jawatan jika orang tidak mahu beliau, merujuk kepada semua keadaan ini? Mungkinkah beliau menyatakan kekesalannya terhadap semua pendokongnya supaya serius bekerjasama dengan beliau untuk berjaya?

Ini kerana, Malaysia jelas akan menghadapi masalah besar tanpa Dr Mahathir. Proses membubarkan kleptokrasi sepenuhnya belum selesai. Usaha memulihkan ekonomi negara juga sedang berjalan. Malaysia Baru yang diharapkan rakyat pula belum kelihatan jalan realisasinya.

Maka, kenyataan kekesalan Dr Mahathir secara spontan ini boleh mengejutkan semua pendokong PH supaya segera memperkemaskan kedudukan mereka supaya apa yang dicita-citakan semasa memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu dapat dicapai.

Post a Comment

3 Comments

  1. Sabar TUN. Kami rakyat masih mahukan TUN. Teksi tu boleh dh slow hapuskan. Kami generasi muda lebih sukakan GRAB

    ReplyDelete
  2. letak jela jawatan TUN. Berehat.. Menulis kat blog, pergi masjid, baca khutbah. Biarkan apa jd kt negara. Depa bkn ngerti apa2

    ReplyDelete
  3. Kisah pelik ini didedahkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Rakyat (PAN), Khalid Abdul Samad yang mendakwa kononnya tiada istilah Pakatan Harapan (PH) cuba mengambil kesempatan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Sebaliknya apa yang berlaku ialah pemimpin veteran itu sendiri menawarkan dirinya dipergunakan bagi proses pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara atas kes liwat untuk aktif kembali dalam politik.

    Menurut Anggota Parlimen Shah Alam itu, Mahathir, 92, menyatakan persetujuan dengan syarat tertentu; sekali gus menolak dakwaan gabungan tersebut mempergunakan aura tokoh pernah digelar mereka sebagai Maha Firaun.

    “Dia (Mahathir) yang rela diri dia digunakan, malahan dia bersetuju untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu daripada PH jika menang Pilihan Raya Umum (PRU) untuk membawa gerakan reformasi dan membebaskan Anwar.

    “Macam mana boleh kata diri dia kita pula yang pergunakan?” soalnya kepada portal BNBBC.my bagi mengulas dakwaan banyak pihak yang menyatakan Mahathir dipergunakan PH untuk membebaskan Anwar daripada penjara.

    Kelmarin dalam konvensyen PH, Mahathir yang juga Pengerusi PH rasmi dilantik sebagai calon Perdana Menteri sementara, manakala isteri Anwar, Dr. Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

    Ia secara tidak langsung bakal mencatatkan rekod dunia Guinness apabila negara bakal diterajui ketua kerajaan paling tua di dunia dan kemudian melakar sejarah suami isteri serentak menjadi perdana menteri dan timbalan.

    Mengulas lanjut mengenai perkara pelik tersebut, Khalid berkata hanya dua nama sahaja yang dikemukakan dalam Majlis Presiden PH. Sebab itu tiada calon lain yang boleh diangkat untuk memegang dua jawatan tertinggi itu.

    “Kita tahu sepatutnya nama Anwar yang diangkat menjadi Perdana Menteri, tapi dah tak boleh sebab dia baru keluar penjara kan,” katanya ringkas mengenai perkara itu

    ReplyDelete