Kerajaan terus komited untuk meningkatkan permintaan kelapa sawit dan kepelbagaian penggunaan getah tempatan dalam produk industri dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil, kata Menteri Kewangaan Lim Guan Eng.
Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan Program Biodiesel B10 (campuran 10 peratus kandungan minyak kelapa sawit) bagi sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri pada 2019.
Kerajaan akan turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membantu semua pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Katanya kerajaan akan memperluaskan penggunaan getah tempatan sebagai bahan campuran dalam pembinaan jalan raya untuk meningkatkan daya ketahanan jalan selain mengurangkan kos penyelenggaraan.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) terutamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat dan sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.
Lim berkata kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.
“Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram,” katanya.
Bagi sektor pertanian, katanya kerajaan akan memperuntukkan RM47 juta untuk R&D bagi meningkatkan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan, RM18 juta untuk automasi industri agromakanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani termasuk menarik penglibatan golongan muda menceburi sektor agromakanan.
FrontDesk
1 Comments
BAU minyak masak la lepas ni kat jalan
ReplyDelete