Harga sawit dipengaruhi oleh trend musim ataupun seasonal. Oleh itu, kita banding harga Buah Tandan Segar sawit yang dibayar kepada pekebun untuk hari Jumaat yang lalu dengan tarikh yang sama tahun lepas.
Harga sawit jatuh dengan teruk. Yang harga lebih dari RM600 satu tan tahun lepas sudah jatuh ke sekitar RM350 satu tan.
Kalau mahu berbanding dengan awal bulan Mei sebelum PRU14, harga juga jatuh dengan banyak.
Ini harga jualan. Belum ditolak kos tetap yang semakin naik.
Saya sangat bersimpati dengan apa yang terpaksa didepani pekebun dan peneroka Felda.
Apabila bertemu dengan pekebun dan penduduk di beberapa negeri, tiada lain yang saya dengar selain rintihan mereka dan kekecewaan mereka. Hidup mereka semakin tertekan kebelakangan ini.
Disebalik harga jatuh teruk, kos tetap bagi mengusahakan kebun pula meningkat.
Harga baja, harga keperluan harian dan barang dapur naik lagi dengan SST sambil kos gaji pekerja asing yang membantu mereka naik manakalabayaran dari FELDA lewat, subsidi dikurangkan dan dimansuhkan.
Janji-janji mereka untuk menghapuskan hutang FELDA dan membantu peneroka-peneroka juga telah dicapatikan.
Keadaan di luar bandar semakin tersepit. Keadaan mereka bagai tidak dipedulikan lagi. Bagai tak wujud lagi mereka di mata kerajaan PH.
Sebelum PRU, bersungguh-sungguh pemimpin PH datang merayu-rayu, melaung-laung akan membela nasib mereka. Ada yang turut menangis kononnya mengenang nasib peneroka,
Hari ini apa jadi? Mana dia hari ini?
Atau mulut dah terkatup dek jawatan lumayan dalam kerajaan PH dan hanya tinggal airmata gembira dapat jawatan dan kedudukan?
Apabila pendapatan pekebun menurun, sudah tentu kuasa membeli menyusut dengan banyak dan ini turut beri kesan kepada peniaga yang terpaksa tanggung kos barang semakin tinggi akibat dari SST.
Ekonomi luar bandar kini terancam. Yang paling teruk terima kesan ialah di Sabah dan Sarawak.
Sepatutnya, dalam keadaan ini, kerajaan PH beri lebih bantuan dan tumpuan kepada golongan ini tetapi ia tidak berlaku.
Sebaliknya, Belanjawan 2019 kesuluruhan kerajaan tinggi tetapi peruntukan mengurus untuk Kementerian industri utama di potong 72% walaupun untuk bajet kesuluruhan kerajaan naik dengan tinggi.
Peruntukan untuk bantuan musim tengkujuh pekebun kecil yang dulu hanya RM260 juta, dihapuskan sama sekali.
Nak harapkan BR1M untuk jadi penampan kepada kesempitan ini pun bagai langit dan bumi kerana BR1M dipotong dengan banyak untuk tahun depan. Entah dapat entah tidak. Itupun tak lama lagi ia akan dihapuskan juga.
Di mana pekebun dan penduduk luar bandar mahu bergantung harap pada masa yang genting ini?
Jangan lupa ramai anak-anak muda yang menetap dibandar hari ini berhutang budi kepada pengorbanan dahulu pekebun-pekebun dan mereka di luar bandar.
Tiada mereka, tidak ada kita hari ini.
Bulan lepas, Menteri DAP juga menyangkal saya dengan memberi jawapan yang menipu tentang ekspot sawit sambil memanggil saya untuk tidak mengelirukan rakyat di mana yang saya sudah membongkar penipuan angka-angka yang beliau beri.
Bulan Jun lalu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di bawah pimpinan baru kerajaan PH menyangkal saya apabila saya mengeluarkan kebimbangan harga minyak sawit semakin turun. Mereka tetap katakan harga minyak sawit akan kukuh tinggi pada akhir tahun ini.
Yang saya paparkan hari ini ialah harga rujukan rasmi MPOB. Apa lagi alasan yang mereka boleh bagi?
Kerajaan boleh berdendam dengan saya dan mengenakan berpuluh dakwaan ke atas saya dan keluarga. Mereka mahu bubarkan UMNO.
Mereka boleh memburukkan nama dan parti saya setiap hari untuk mengalih perhatian tetapi kesejahteraan hidup golongan-golongan yang besar ini tetap keutamaan saya pada tempoh saya Perdana Menteri di bawah parti UMNO.
Kini mereka sudah jadi kerajaan. Janganlah mengabaikan nasib 650,000 keluarga pekebun dan pengusaha sawit dengan berjuta-juta penduduk luar bandar di seluruh negara.
Tulisan Artikel : Najib Razak
1 Comments
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete