Rasis Gaya Pemimpin Sarawak...

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg hari ini mencadangkan agar hanya parti 100% berasaskan Sarawak dibenarkan bergerak di negeri itu.

Sehubungan itu, kata beliau, mungkin ia sesuatu yang mendesak dan perlu untuk menggalakkan penubuhan parti pembangkang baharu yang berasaskan Sarawak sepenuhnya serta tidak bersekutu dalam apa jua cara pun dengan parti politik bukan dari Sarawak untuk menyertai politik negeri itu.

“Bagi kami GPS (Gabungan Parti Sarawak), kami benar-benar sebuah parti berasaskan Sarawak dan diterajui hanya oleh anak Sarawak,” kata Abang Johari, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Hari ini, kami tidak ada parti pembangkang yang 100% berasaskan Sarawak dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak hanya merupakan Pakatan Harapan kebangsaan cawangan Sarawak, yang berpusat di Semenanjung, dengan pemimpinnya daripada Persekutuan Tanah Melayu,” jelas beliau dan menambah PH Sarawak hanya boleh bersuara dengan amat sedikit tentang dasar kebangsaan bagi pihak Sarawak. 
“Kita telah belajar daripada sejarah tentang bahayanya Sarawak menjadi terlalu rapat dengan parti daripada parti dari Semenanjung hingga terpaksa tunduk kepada politik kebangsaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau berkata mereka juga tidak mahu bukan orang Sarawak mempengaruhi Sarawak di belakang tabir dan dalam konteks PBB, jelas beliau, “kami sentiasa membantah Umno daripada melebarkan sayapnya ke Sarawak dan perkara ini akan terus menjadi dasar kami.”

Jelas Abang Johari, oleh itu, adalah tidak silap apabila beliau menyekat mereka yang bukan merupakan orang Sarawak daripada memasuki negeri itu dan mendakwa mereka mungkin berada di negeri itu bagi membangkitkan sentimen dan emosi yang boleh memusnahkan keharmonian dan memecahbelahkan perpaduan rakyat Sarawak.

“Risiko terdapat anasir yang mengganggu keamanan dan keharmonian kita adalah antara sebab utama saya tidak akan melepaskan hak Sarawak untuk mengawal dasar imigresen kita,” tegas beliau.

 FMT

Post a Comment

2 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete