Add caption |
Kerajaan sedar akan kehilangan perolehan RM21 bilion daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).
Ketua Ekonominya, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berhubung Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam, kehilangan perolehan berkenaan bagaimanapun dikurangkan dengan pembaharuan cukai termasuk cukai tembakau dan arak, cukai keuntungan hartanah (RPGT) untuk penjualan selepas lima tahun dan cukai soda.
“Apa yang penting, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) akan menyumbang RM54 bilion dividen tahun depan yang mana RM30 bilion adalah dividen khas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Berkenaan pertumbuhan negara, Mohd Afzanizam berkata, kerajaan berada di kedudukan yang mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dijangka melebihi atau kurang daripada tahap potensi 4.8 peratus, yang mencadangkan bahawa keputusan mengenai peruntukan sumber adalah sangat kritikal memandangkan faktor luaran tidaklah sangat kondusif.
Katanya, perkara ini benar apabila ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dijangka memotong eksport Malaysia dan KDNK, masing-masing sebanyak 0.08 mata peratusan dan 0.02 mata peratusan bagi tempoh 2018 dan 2020 berdasarkan jangkaan dalaman Kementerian Kewangan (MoF).
“Bagaimanapun, jika perang perdagangan itu berterusan meningkat dan menarik turun pengeluaran sebanyak 0.4 mata peratusan menjelang 2020, ekonomi Malaysia akan berkurangan sebanyak 0.7 mata peratusan,” katanya.
Dalam hal ini, menurut Mohd Afzanizam, jika garis asas ramalan 2019 adalah 4.9 peratus, pertumbuhan KDNK akan dikurangkan kepada 4.2 peratus jika pengeluaran global susut 0.4 mata peratusan berikutan peningkatan dalam kekuatan perang perdagangan.
“Justeru, permintaan domestik berkemungkinan memerlukan usaha yang besar tahun depan,” jelas Mohd Afzanizam.
Di sisi lain, katanya, dasar kerajaan mengarah kepada peningkatan kapasiti terutamanya di dalam sektor swasta.
Ini terutamanya, revolusi perindustrian keempat yang sudah menjadi perkara umum dan dilakukan dalam mencapai pertumbuhan mampan dan lebih inklusif, kata Mohd Afzanizam.
Katanya, ini dicerminkan di dalam pelaburan swasta yang dijangka mencatat pertumbuhan lima peratus pada 2019 daripada jangkaan 4.5 peratus tahun ini.
Ini adalah berdasarkan perbelanjaan berterusan firma swasta terhadap Internet of Things (IoT), perisian, elektronik canggih, jentera pintar, automasi dan robotik, kenderaan berpandukan automatik, aero angkasa dan peranti perubatan.
Dalam hal ini, langkah ke arah kadar guna pakai yang tinggi untuk Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) dalam kalangan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus diterjemahkan menjadi produktiviti yang lebih baik dan keuntungan kecekapan.
Setakat ini, penggunaan ICT masih lagi terhad kepada menghantar dan menerima e-mel (70.6 peratus), perbankan internet (41.3 peratus), mendapatkan maklumat mengenai barangan dan perkhidmatan (38.9 peratus) dan menghantar maklumat atau maklumat segera (36.6 peratus).
“Dengan apa yang diperkatakan, kami percaya langkah yang diumumkan adalah sangat jelas,” kata Mohd Afzanizam.
FrontDesk
0 Comments