Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini wajar memahami apa yang disampaikan kerajaan apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menghadiri majlis anjuran mereka hari ini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Suhakam sepatutnya menyokong penuh hasrat perdana menteri dan rakyat negara ini yang menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd)

"Bertindak sebaliknya hanya menimbulkan persepsi bahawa Suhakam menjadi alat pihak luar yang lebih memperjuangkan tuntutan asing berbanding memahami kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhakam sepatutnya mengadakan sambutan Hari Hak Asasi Manusia di Padang Timur, Petaling Jaya semalam. Dr Mahathir dijangka menghadirinya.

Bagaimanapun ia dibatalkan atas nasihat polis kerana ia diadakan pada hari sama PAS, Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengadakan himpunan menentang Icerd di Kuala Lumpur.

Suhakam kemudian memutuskan untuk membuat sambutan tersebut hari ini.

Mahathir kemudian mengesahkan bahawa beliau tidak akan hadir kerana pendirian kerajaan Malaysia berbeza dengan Suhakam.

“Saya sudah putuskan kita tidak akan menerima Icerd (tetapi) Suhakam mahu terima Icerd, jadi macam mana saya nak pergi (sambutan itu)?” katanya semasa sidang media di Petaling Jaya, semalam.

Tuan Ibrahim berkata PAS menyambut baik pendirian Dr Mahathir, malah berasa pujian wajar diberikan kepada perdana menteri.

Pada masa sama kata anggota parlimen Kubang Kerian itu pimpinan Pakatan Harapan (PH) pula mesti mengikut pendirian kerajaan agar tiada lagi mesej tidak tekal mengenai Icerd.

"Diharap selepas ini tiada lagi pimpinan PH yang memberikan gambaran berbeza terhadap Icerd yang menguatkan persepsi bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD hanya bersifat sementara," katanya.

Pendirian tersebut juga kata Tuan Ibrahim sesuai dengan kemahuan "jutaan rakyat Malaysia" yang menyertai himpunan di Jalan Raja semalam.

"Keputusan ini juga tepat selaras dengan kehendak jutaan rakyat Malaysia yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam bagi membantah Icerd demi menjaga keharmonian dan hubungan kaum yang baik negara yang telah berlangsung lebih 60 tahun," katanya.

Malaysiakini