Anggota Parlimen Kepong hari ini mempertikaikan keputusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganugerahkan tiga siri nombor pendaftaran kenderaan kepada syarikat Brandworth Corp.

Menurut Lim Lip Eng syarikat terbabit mempunyai kaitan rapat dengan keluarga Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Justeru kata Lim beliau mahu kementerian pengangkutan dan JPJ memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Mengapa syarikat ini diberi layanan khas? Apa yang istimewanya Brandworth Corp ini hinggakan mereka layak mendapat tiga siri khas?

Untuk rekod Brandworth Corp sebelum ini dilaporkan menjadi unit propaganda untuk Jabatan Perdana Menteri ketika Najib masih menjadi ketua kerajaan.

Kata Lim melalui kebenaran yang diberi itu Brandworth Corp dibenarkan melelong siri nombor pendaftaran khas terbabit.


Mungkin rujuk ke SPRM

Menurutnya syarikat berkenaan boleh mengumpul lebih RM10 juta daripada penjualan nombor siri khas tersebut dan hanya perlu membayar RM1 juta kepada JPJ.

Dengan hanya membayar RM1 juta kepada kerajaan kamu boleh dapat lebih 10 kali ganda, ini keuntungan yang mudah.

Berdasarkan senarai yang diberikan Lim, Brandworth Corp mendapat hak untuk melelong nombor pendaftaran YA dan YC - masing-masing dari 1 hingga 999.

Kelulusan itu diberikan kepada syarikat terbabit pada 28 Nov 2017. Ketika itu menteri pengangkutan ialah Liow Tiong Lai.

Menurut Lim jika Liow atau JPJ gagal memberikan penjelasan beliau akan membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan isu berkenaan disiasat.

Bagaimanapun selain YA dan YC, Brandworth Corp juga mendapat hak untuk melelong nombor pendaftaran X 1 hingga X 9999 pada 10 Jan lalu.

Berdasarkan dokumen yang ditunjukkan Brandworth Corp adalah satu daripada tiga syarikat yang diluluskan untuk melelong nombor pendaftaran kenderaan oleh JPJ.

Anthony Loke yang dilantik menggantikan Liow pada Mei lalu mengumumkan amalan berkenaan tidak lagi diterima. Setakat ini JPJ meluluskan 39 siri nombor pendaftara khas untuk pelbagai pertubuhan dan yayasan.

Brandworth Corp diketuai bekas ketua pegawai eksekutif Media Prima Bhd, Ahmad Farid Ridzuan, yang dipinjamkan sebagai penasihat komunikasi di Jabatan Perdana Menteri semasa zaman Najib.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkkan pengarah Brandworth Corp ialah Azlan Rudy Malik yang ketika itu menjadi ketua pegawai operasi 1Malaysia for Youth (1M4U).

Bekas ketua pegawai operasi anak syarikat Media Prima, Primeworks Studios Sdn Bhd, Farisha Pawan Teh pula dinyatakan menjadi pengurusnya.

Malaysiakini