Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong tidak menolak kemungkinan satu peruntukan undang-undang boleh digubal bagi menghalang wakil rakyat lompat dari parti asalnya, susulan penghijrahan beramai-ramai pemimpin Umno pada masa ini.
Liew bagaimanapun berkata, pihaknya perlu mendapatkan pandangan pihak berkaitan memandangkan ia akan menimbulkan konflik dari aspek hak kebebasan individu untuk menyertai mana-mana pertubuhan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mungkin sesuatu undang-undang boleh digubal di mana apabila seseorang wakil rakyat memutuskan untuk meninggalkan parti asalnya, maka secara automatik dia (wakil rakyat berkenaan) akan hilang kelayakannya sebagai wakil rakyat.
“Bagaimanapun kita kena lihat pada keseluruhannya sama ada cadangan ini akan menimbulkan konflik hak kebebasan mereka untuk menyertai mana-mana pertubuhan seperti ternyata dalam peruntukan perlembagaan,” katanya kepada FMT.
Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10(1)(C) dalam kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan menyatakan semua warganegara Malaysia berhak untuk membentuk persatuan.
Semalam, Senator Datuk Lee Tian Sing menggesa kerajaan agar menggubal satu akta anti-lompat parti bagi memastikan kesetiaan dan integriti wakil rakyat kepada pengundi mereka.
Menurutnya, ia penting kerana ramai wakil rakyat mengambil tindakan melompat parti dan ini amat mengecewakan rakyat yang mengundi mereka.
Mengulas lanjut, Liew berkata setakat ini Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada warganegara untuk menyertai mana-mana parti politik berdasarkan pilihan mereka, namun tindakan pemimpin yang lompat dari parti asalnya sudah tentu akan mengecewakan pengundi di kawasan masing-masing.
“Sememangnya rakyat terutamanya pengundi terkedu apabila seseorang wakil yang mereka undi pada pilihan raya lalu membuat keputusan untuk berpindah dan melompat dari parti asal ke parti lain. Keputusan sedemikian sudah tentu mengecewakan para pengundi yang memilih atas dasar prinsip dan dasar.
“Maka, cara yang terbaik untuk menentukan sama ada pengundi masih lagi menyokong keputusan mereka yang berhijrah ke parti lain, maka wajarlah mereka meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat. Inilah tindakan sewajarnya bagi mereka kerana dari segi moral, pengundi sudah hilang kepercayaan kepada mereka,” katanya.
Semalam, 6 ahli Parlimen Umno keluar dari parti itu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Terdahulu, 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah beramai-ramai keluar parti itu.
Mereka ialah Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor; Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).
FMT
0 Comments