Ibu Sangkakan Tidur, Rupanya Mati Kerana Telifon

Remaja lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Kampung Gais Batu Pedas, Rembau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, mangsa, Mohd Aidi Azzhar Zahrin, 16, ditemui meninggal dunia jam 12.45 tengahari oleh ibunya yang mendapati anaknya tidak sedarkan diri.

Katanya, ibu mangsa berusia 51 tahun sebelum itu keluar rumah jam 7.45 pagi untuk ke tempat kerja dan mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap di lantai yang disangkanya sedang tidur.

“Sewaktu berada di tempat kerja, wanita itu berasa tidak sedap hati lalu pulang ke rumah. Sebaik tiba dia melihat keadaan anaknya dalam posisi yang sama.

“Wanita itu cuba mengejutkan anaknya, namun tiada tindak balas, malah keadaan badan mangsa begitu sejuk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam semalam.

Katanya, wanita berkenaan menghubungi klinik kesihatan berdekatan sebelum pegawai perubatan yang tiba membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan lebam atau luka, sebaliknya pendarahan di sebelah telinga kiri.

“Ketika itu mangsa sedang memakai 'earphone' dan telefon bimbit miliknya yang berada bersebelahan sedang dicas. Pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, seorang daripada abang mangsa cuba mematikan suis elektrik sebelum menyedari terdapat kesan renjatan elektrik pada wayar berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.

Harian Metro

Post a Comment

0 Comments