Kerana Isu Pendatang Asing - Perdana Menteri Letak Jawatan

Kemarahan rakyat susulan isu pendatang asing yang dibawa kerajaan Belgium memaksa Perdana Menteri Charles Michel menawarkan diri kepada Raja Philippe untuk meletak jawatan.

Dengan hanya berbaki lima bulan sehingga pilihan raya pada Mei tahun depan, tidak dapat dipastikan jika peletakan jawatan itu akan diterima baginda.

Menurut istana, keputusan itu masih belum dibuat namun sumber kanan memberitahu, berkemungkinan besar institusi Diraja akan meminta kerajaan pimpinan Michel menangani urusan harian sehingga hari pengundian.

Selepas kehilangan sokongan parti konservatif Belgium, N-VA pada 9 Disember lalu, Michel cuba mengetuai kerajaan minoriti namun semalam ketika sesi debat di parlimen, perdana menteri itu mengakui kekalahan dan mungkin tewas pada undi tidak percaya yang dilaksanakan sayap kiri dan parti pembangkang.

Michel yang mula memegang jawatan Perdana Menteri pada 2014 kehilangan sokongan N-VA susulan sokongannya terhadap perjanjian pendatang asing Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) iaitu isu yang meraih perhatian ramai.

Peletakan jawatan itu berlaku dua hari selepas rusuhan tercetus di ibu negara susulan perjanjian itu, memaksa polis menggunakan gas pemedih mata dan tembakan air untuk menyuraikan peserta.

Selepas sesi debat di parlimen berakhir dengan parti pembangkang enggan mengundi sehingga pilihan raya 26 Mei depan, Michel mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan.

“Saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan adalah menjadi niat saya untuk bertemu Raja pada kadar segera,” kata Michel sebelum sempat pembuat undang-undang mengusulkan undi tidak percaya ke atas beliau.

Raja Philippe menerima mengadap Michel selepas itu tetapi masih belum memutuskan untuk menerima peletakan jawatan itu, kata istana dalam satu kenyataan.

Berita Harian

Post a Comment

0 Comments