Mahathir vs Suhakam vs ICERD


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak akan menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Padang Timur, Petaling Jaya, esok.

Tun Dr Mahathir enggan hadir ke sambutan itu kerana perbezaan pendirian antara kerajaan dan SUHAKAM berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

"Saya sudah putuskan kerajaan tidak akan menerima (meratifikasi) ICERD. SUHAKAM pula mahu ICERD diterima, jadi macam mana saya mahu pergi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan hadir ke sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang akan diadakan esok, selepas ditangguhkan daripada jadual asalnya.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail semalam mengumumkan sambutan itu yang sepatutnya diadakan hari ini, ditangguhkan pada esok atas faktor keselamatan selepas menerima nasihat dikeluarkan polis dan Pejabat Perdana Menteri.

Diminta mengulas penangguhan itu, Dr Mahathir berkata, pegawai polis terpaksa berpecah di dua lokasi jika sambutan Hari Hak Asasi Manusia diteruskan memandangkan himpunan membantah ICERD turut diadakan pada hari ini.

"Oleh kerana kita takut perhimpunan pertama (bantah ICERD) dihadiri ramai orang dan memerlukan pegawai polis yang ramai, sebab itu himpunan ditangguh ke hari lain.

"Bukan kita larang nak adakan demonstrasi, tapi kita minta supaya ditangguh ke hari lain supaya polis tak tertekan kerana pegawai mereka tak cukup untuk kawal himpunan yang besar," katanya.

Harian Metro

Post a Comment

0 Comments