Peguam Ulas Cara Kerajaan PH Hadapi Himpunan ICERD

Saya ada sedikit pengalaman sebagai peguam pemerhati semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, bagaimana seorang demonstran yang berlari, tersungkur dan ditahan oleh polis di hadapan mata saya.

Saya juga ada sedikit pengalaman sebagai peguam mereka yang ditahan polis semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, menunggu di hadapan Pulapol untuk dibenarkan masuk berjumpa tahanan.

Saya juga ada sedikit pengalaman bawa kes di Mahkamah untuk menegakkan hak berhimpun dengan aman.

Dan saya sendiri juga pernah menjadi seorang demonstran dalam perhimpunan aman.

Jadi, apabila saya lihat 70,000 hingga 80,000 demonstran membanjiri Kuala Lumpur pada hari ini, tanpa apa halangan, dan dibantu oleh pihak berkuasa sebagai pemudahcara, saya rasa amat puas hati.

Bukan sebab saya sokong himpunan anti-ICERD ini. Langsung tidak! Tetapi saya sokong HAK untuk berhimpun. HAK yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya ingat lagi, himpunan-himpunan besar sebelum ini. Bagaimana rakyat dihalang masuk ke Dataran Merdeka. Bagaimana individu-individu ditahan sebelum perhimpunan. Bagaimana amaran-amaran dikeluarkan. Bagaimana gas pemedih mata dan meriam air jadi sajian. Bagaimana para demonstran ditahan dan diangkut ke Pulapol. Bagaimana demonstran direman. Bagaimana mereka kemudian di dakwa.

Ingat lagi roadblock untuk masuk KL? 
Ingat lagi lagi bagaimana baju kuning jadi haram? 
Ingat lagi 6 pemimpin PSM yang ditahan sebelum Bersih 2.0? 
Ingat lagi Maria Chin yang ditahan bawah SOSMA semasa Bersih 5? 
Ingat lagi mahasiswa-mahasiwa yang dikenakan tindakan sebab berhimpun?

Semua peristiwa-peristiwa ini, pengorbanan-pengorbanan ini, menyumbang kepada apa yang berlaku pada hari ini. Di mana Kerajaan Malaysia, bukan setakat membenarkan demonstrasi, membantu perjalanannya dan mengucapkan selamat maju jaya kepada demonstran.

Malaysia Baharu bukan bermakna, yang menang boleh demonstrasi tanpa halangan.

Erti sebenar pembentukan sebuah Malaysia Baharu adalah supaya yang tidak menang, yang menentang, boleh juga demonstrasi tanpa halangan.

Tulisan Syahredzan Johan

Post a Comment

1 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete