Saya akan cuba mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung Tabung Haji kepada SPV bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.
Menurut standard laporan kewangan FINANCIAL REPORTING STANDARDS IMPLEMENTATION COMMITTEE (FRSIC) Consensus 14 sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan, penurunan 20 % dianggap significant.
Bagaimanapun, menurut PWC, Tabung Haji menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.
PWC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.
PWC berkata penyembunyian kerugian ini bertujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012.
Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi.
PWC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.
Bagi mengadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, Tabung Haji dilihat berusaha mengemaskini aset tidak menguntungkan yang dimiliki ketika yang bernilai lebih RM 19.9 billion (berbanding asset yang bagus iaitu dari kalangan aset dalam kategori liabilities bernilai RM 57.1 bil).
Ertinya aset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil kepada Tabung Haji bagi tahun kewangan terkini dan kewujudannya di dalam buku Tabung Haji hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan Tabung Haji yang akhirnya akan menyekat pemberian dividen kepada pendeposit.
Justeru, bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak Tabung Haji memilih untuk memindahkan atau menukarkan aset tidak untung masa ini (termasuk Tanah TRX sebagaimana klasifikasi yang ditetapkan oleh Tabung Haji sendiri dan kaedah perakaunan) itu semuanya kepada SPV di bawah MOF, ia perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli aset kurang bagus itu pada waktu ini, maka MOF adalah entiti yang tepat mewakili Kerajaan Malaysia bagi tujuan penerima pemindahan dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan RCPS-i untuk dimiliki oleh Tabung haji.
Pegangan Sukuk bertempoh matang 7 tahun terbabit akan memberikan jangkaan pulangan sebanyak 5 % setahun kepada Tabung Haji berbanding aset tidak bagus sedia ada yang tidak memberikan apa-apa. Bagaimanapun Redeemable Convertible Preferences Share (Islamic) yang bernilai RM 9.9 bil tiada tarikh matang dan tiada dividen tetapi sentiasa terbuka untuk ditebus kembali oleh TH. Jika digabungkan kedua-duanya beerti untuk aset bernilai RM 19.9 b, TH bakal mendapat pulangan 2.5 % setahun.
Saya juga tidak lihat bagaimana mungkin MOF akan ‘merampas’ aset tiada hasil itu di masa akan datang, MOF Inc sifatnya berbeza seperti syarikat yang sifatnya hanya mengejar keuntungan, ia membawa agenda kerajaan. Kecuali jikalau SPV di bawah MOF inc itu menjualnya kepada pihak ketiga, itupun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik.
Semua wang pendeposit turut dijamin oleh kerajaan. Sebenarnya kerajaan Malaysia ‘hampir’ boleh dikatakan melalui MOF sedang ‘bail out’ Tabung haji melalui dua instrumen ini. Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.
Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, nilai rosot nilai melebihi 20 peratus. Justeru jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion.
Sefaham saya, tindakan pemindahan kepada SPV dan menerbit instrument pelaburan Sukuk dan RCPS-i tersebut boleh memberi kebaikan kepada TH iaitu :
- Menjadikan Tabung Haji mungkin berpeluang mendapat keuntungan dari pegangan Sukuk sebanyak 5 % setahun berbanding terjerat dengan aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah ‘impairment loss’ dalam laporan kewangan Tabung Haji.
- Memastikan Tabung Haji mampu memberikan dividen kepada pendeposit kerana tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrument patuh shariah itu; Tabung Haji akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset justeru tidak boleh membayar dividen menurut akta Tabung Haji.
Adalah hal biasa SPV di bawah MOF Inc bertindak untuk tujuan-tujuan spesifik memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan. Dahulu pun kerajaan merawat non-performing loans melalui Danaharta Nasional Bhd yang berfungsi seperti SPV pada waktu itu. Kini model yang digunakan dan dibentuk di bawah MOF bagi mengambil milik asset dengan ’bayaran’ sukuk dan RCPS-I sebagai balasan kepada Tabung Haji. Juga, aset di bawah di bawah MOF itu tidak sama sekali beerti ia dimiliki oleh Menteri kewangan atau timbalannya atau mana-mana individu politik, tetapi ia adalah dipegang oleh kerajaan Malaysia sendiri. Mungkin menjadi sebahagain GLC pada masa akan datang juga.
Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan berlebihan (sikit-sikit adalah natural kerana tiada apa yang dapat lari dari politik) kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh membaik pulih Tabung Haji yang sebelum ini dipegang oleh orang politik khususnya (dari kalangan ahli Lembaga Pengarah) sehingga kelihatan wujud campur tangan yang akhirnya mengurangkan kredibiliti dan TH, hari ini semua ahli Lembaga Pengarahnya bukan orang politik dan cadangan pemindahan ke SPV di bawah MOF juga sefaham saya adalah datang dari perbincangan lembaga Pengarah, PWC dan pengurusan tertinggi lalu dibentang cadangan tersebut di kabinet Malaysia.
Kita sama-sama berdoa Tabung amanah untuk tujuan mulia Haji ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru mereka sedang melaksanakan tugasan mereka sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan bagi TH sebagai contoh tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bil setelah ditolak segala liabiliti dan adjustment.
Jikalau apa yang dijangka tidak berlaku malah Tabung haji telah menjadi semakin teruk dan dicerobohi pula secara politik, maka bolehlah dianjurkan bantahan ala Himpunan Kesyukuran Penolakan ICERD sekali lagi atau boleh juga diubah kerajaan yang ada melalui Pilihanraya ke-15 kelak.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
Adj. Prof Faculty of Business & Accountancy UNISEL
12 Di 2018
0 Comments