Subsidi Petrol B40 - Maklumat Agensi Mana Kerajaan Akan Guna, Itu Persoalannya

Dasar subsidi petrol secara bersasar akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula suku kedua 2019. Pelaksanaan dasar baharu ini dikatakan akan memberikan faedah kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Tahukah anda, di India terdapat sejuta rakyat secara sukarela menawarkan diri untuk tidak menjadi penerima subsidi untuk bekalan gas petroleum cecair (LPG) pada 2015?

Ini berikutan kempen yang diuar-uarkan di laman media sosial tempatan di mana selebriti dan pemimpin negara itu telah tampil secara sukarela mendaftarkan diri untuk kempen tersebut.

Dengan pelaksanaan kempen ini, ia telah berjaya membantu kerajaan India menjimatkan subsidi kerajaan sebanyak RM82.3 juta.


Justeru, persoalannya adakah kempen seumpama itu mampu dijayakan di negara kita?

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari, dalam konteks Malaysia, jumlah yang akan menolak subsidi secara sukarela masih kecil.

Dalam konteks Malaysia sekarang, mungkin ada segelintir yang akan secara sukarela untuk tidak menjadi penerima subsidi. Tetapi jumlahnya masih kecil.
Hal ini kerana, masih ada lagi yang terbeban dengan kos sara hidup yang disebabkan peningkatan harga barangan berbanding dengan peningkatan pendapatan yang hampir statik.

Tambah Mohd Yusof, kerajaan perlu menyediakan sistem pangkalan data yang lengkap dengan butiran isi rumah bagi mengenal pasti siapa yang benar-benar layak untuk mendapatkan subsidi berkenaan.

Kebocoran berlaku kepada kebanyakan dasar dan polisi yang berkaitan dengan subsidi jika kita tiada satu sistem data yang komprehensif dan tepat.
Oleh itu, cabaran kerajaan adalah memberi tumpuan kepada usaha-usaha bagaimana mendapatkan data penduduk yang merangkumi pendapatan, jumlah isi rumah, pekerjaan, saiz rumah dan segala maklumat penting berkaitan sosioekonomi mereka.

Tambahnya, sistem tersebut sudah pun terdapat di negara-negara maju membuatkan apa-apa dasar yang dilaksanakan kerajaan di negara-negara itu lebih cekap dan mencapai sasaran.

Namun begitu, jika terdapat cadangan atau permintaan, adakah anda bersedia untuk menjadi masyarakat yang tidak lagi bergantung kepada subsidi?

Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 2 Nov lalu, beliau mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter yang terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin bawah 1,500cc.

Manakala 40 liter sebulan untuk pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Astro Awani

Post a Comment

1 Comments

  1. The road to hell is paved with good intentions.

    ReplyDelete