Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jabor di sini hanya menerima dua orang murid tahun satu bagi sesi persekolahan 2019 yang bermula hari ini.
Dua murid yang melangkah masuk ke sekolah kategori Sekolah Kurang Murid itu ialah Tan You Hong Jing dan Muhammad Fakhrullah Hanif Mohd. Khairul Faizul.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya, Teo Boon Ching berkata, sekolah berusia 68 tahun itu menerima kemasukan murid yang lebih kecil pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, mereka akan dibimbing oleh sepuluh guru yang keseluruhan menampung 17 orang murid dari tahun satu hingga enam dengan 12 daripadanya Melayu manakala lima lagi murid berketurunan Cina.
Bagi tahun satu, Cikgu Yap Seng Wing diberi tanggungjawab sebagai guru kelas dan guru bahasa Mandarin. Menariknya saya nampak kanak-kanak tahun satu ini saling bantu-membantu antara satu sama lain walaupun mereka baharu berkawanMenurut Boon Ching, di sebalik jumlah murid yang kecil namun tugas dan tanggungjawab guru di SJKC Jabor adalah sama seperti di institusi pendidikan lain.
SJKC Jabor diwujudkan pada tahun 1951 di Kampung Cina Jabor di atas tapak seluas 0.4 hektar dengan menampung beberapa orang murid sahaja dan mula berjalan dengan lancar setelah mendapat bantuan penuh kerajaan mulai 1961.
Sekolah ini pernah menampung lebih 100 murid namun terus merosot mulai 1970-an setelah kawasan ladang di sekitar dijual oleh pemiliknya dan pekerja berpindah ke Kuantan
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Comments