Tindakan seorang pekerja di sebuah restoran di Seksyen 25, di sini, menegur tiga pelanggan yang merokok di dalam premis itu, dibalas tamparan di pipi kirinya, pada hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan premis makanan di negara ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan tamparan itu tidak kuat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata, ketika kejadian tiga lelaki itu yang dianggarkan berusia lingkungan 30an sedang menghisap rokok di dalam premis berkenaan.
“Mangsa yang terlihat kejadian itu kemudian menegur mereka secara baik namun seorang daripada mereka bertindak menampar pekerja restoran itu.
“Ketiga-tiga pelanggan itu terus beredar dari restoran selepas membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, terdapat dua lagi pekerja restoran dan lima pelanggan lain ketika kejadian.
“Menurut seorang pekerja restoran itu, ketiga-tiga suspek jarang dilihat datang ke restoran berkenaan.
“Sehubungan itu, pihak kami meminta ketiga-tiga suspek untuk tampil secara sukarela bagi memberi keterangan di balai polis berdekatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh pemilik restoran itu kerana tidak mahu bertanggungjawab sekiranya pihak berkuasa mahu mengenakan denda atau tindakan terhadap restorannya ekoran peraturan baharu larangan merokok di restoran.
Difahamkan, restoran itu turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV).
MSN
0 Comments