Tuntutan Palsu Bernilai RM500k

Pegawai daerah di Terengganu direman selama enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Saad bermula hari ini hingga Sabtu.

Ia bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Penahanan suspek berusia 59 tahun berkenaan dipercayai rentetan tangkapan terhadap seorang Pengerusi Majlis Belia sebuah daerah yang direman selama tujuh hari, bermula 9 Januari lalu.

Suspek yang bertanggungjawab sebagai pegawai pengawal diamanahkan untuk menguruskan wang peruntukan bantuan am sebanyak RM500,000 mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dipercayai mengeluarkan wang berkenaan dalam bentuk cek.

Cek yang bernilai RM300,000 dan RM200,000 itu dikatakan dibuat dan diserahkan kepada Majlis Belia Daerah sebagai penerima, walaupun tiada permohonan dilakukan untuk perbelanjaan 32 program sekitar daerah terbabit.

Difahamkan, program berkenaan tidak dilaksanakan.

Suspek sebelum ini ditahan ketika dipanggil untuk beri keterangan berhubung kes terbabit di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira 5 petang semalam.

Harian Metro

Post a Comment

0 Comments