Bimbang Seteru Jatuh Sakit, Negara Huru-Hara

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pernah menjadi seteru paling sengit buat Dr Mahathir Mohamad ketika dalam Umno dahulu.

Bagaimanapun kini, Tengku Razaleigh yang dikenali dengan gelaran Ku Li menzahirkan harapan agar perdana menteri diberikan kesihatan yang baik bagi mentadbir negara.

Ini bukan saya nak sindir. Orang berdoa supaya dia (Dr Mahathir) sihat sekarang. Kerana kalau berlaku apa-apa kepada Dr Mahathir di saat ini, huru-hara negara ini, katanya.

Razaleigh berkata demikian ketika berucap dalam Sembang Santai di Pangsapuri Seri Dahlia, pusat daerah mengundi (PDM) Bukit Mahkota 2 malam tadi.

Majlis sembang santai yang merupakan sebahagian kempen BN pada PRK Semenyih itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad.


DAP kuasai kepentingan negara

Razaleigh juga berkata sekiranya Dr Mahathir terpaksa berundur daripada mentadbir negara dalam keadaan ketidaktentuan yang berlaku dalam PH, maka negara mungkin bakal berhadapan masalah besar.

Dengan keadaan yang berlaku dalam PKR, yang dihadapi oleh PH, (dengan) DAP menguasai semua kementerian yang ‘bisa-bisa’ (penting), bayangkan apa yang akan berlaku?
Dan kemungkinan, dengan apa yang dikuasai oleh (DAP terhadap) kepentingan-kepentingan ini, kita akan menghadapi masalah yang besar, tambahnya lagi.

Kenyataan Razaleigh itu dipercayai merujuk dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP kini menguasai kerajaan dengan mengetuai kementerian penting seperti menteri kewangan serta menteri komunikasi dan multimedia.


Mengimbau Kenangan Lawan Mahathir

Razaleigh mengimbau kenangan kalah dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1987 ketika bertanding merebut jawatan presiden dari Dr Mahathir.

Saya diminta menawar diri untuk melawan dia. Tak tumbang dia, kita lawan tak tumbang dia.
Katanya peti undi hilang, lampu gelap, macam-macam berlaku. [...] Walaupun menang tipis dengan 43 undi, menang lagi dia.
Sekarang dia balik jadi perdana menteri pula. Syukur Alhamdulillah, dapat dia buat kali kedua, katanya sinis disambut tawa handirin.

Untuk rekod, pertandingan antara Razaleigh dam Mahathir berlaku pada Perhimpunan Agung Umno, 24 April 1987.

Pemilihan kontroversi tesebut menyaksikan Umno berpecah kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Dr Mahathir dan kumpulan Razaleigh. Selanjutnya, kes ini dibawa ke mahkamah dan Umno diharamkan.

Razaleigh kemudian menubuhkan parti Semangat 46 pada 1988 dan membentuk kerjasama pembangkang dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah yang semmpat bertanding dua pilihan raya umum, 1990 dan 1995.

Selepas PRU9 pada 1996, parti Semangat 46 dibubarkan dan Razaleigh kembali ke pangkuan Umno.


Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments