Ahli UMNO Lompat BERSATU Boleh Tarik Nafas Lega.

Umno dilaporkan tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang keluar parti susulan kekalahannya dalam PRU ke-14.

Menurut The Malaysian Insight yang memetik sumber, keputusan itu kerana Umno tidak mahu menanggung kos tinggi untuk meneruskannya, selain fokus kepada pengukuhan parti.

"Tok Mat (pemangku presiden Umno Mohamad Hasan) berpendapat adalah lebih penting pada waktu ini Umno fokus dengan mengukuhkan parti itu sendiri. Selain daripada itu, faktor kos juga menjadi pertimbangan utama," kata sumber dalaman Umno itu seperti dipetik.

Umno dilaporkan memfailkan saman terhadap bekas wakil rakyatnya pada November lalu, ketika presidennya Ahmad Zahid Hamidi belum bercuti.

Beliau berkata tindakan itu diambil kerana kemenangan mereka adalah kerana Umno dan BN serta hasil kempen jentera parti.

Januari lalu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengesahkan saman telah difailkan kepada Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati - kedua-duanya telah menyertai Bersatu.

Annuar juga berkata Umno mahu mengambil langkah sama terhadap bekas wakil rakyatnya di Sabah, tetapi masih tidak berbuat demikian.

Walaupun tewas pada PRU lalu, Umno sebelum ini kekal sebagai parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 54 anggota parlimen.

Jumlah itu kini merosot kepada 37 anggota parlimen - menjadikannya parti ketiga selepas PKR dan DAP - selepas sejumlah mengambil keputusan untuk keluar parti.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments