Guru Besar Ditukar Kerana Bertindak "Ikut Suka Kepala Dia" (Asing Pelajar Ikut Anutan Agama)

Jabatan Pendidikan Sabah diarahkan oleh Kementerian Pendidikan supaya mengambil tindakan pembetulan berikutan laporan seorang pengetua memutuskan untuk mengasingkan pelajar Tingkatan 1 di sekolahnya mengikut anutan agama.

Menjawab pertanyaan media hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, jabatan berkenaan memaklumkan kepadanya bahawa pegawai pelajaran akan melawat sekolah menengah berkenaan esok bagi membantu tindakan pembetulan itu.

“Setelah langkah pemulihan tersebut dilaksanakan, pengetua berkenaan akan ditukar ke jawatan lain oleh jabatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak jabatan telah pun menyediakan satu laporan berhubung isu itu.

Teo berkata, perkembangan itu mengejutkan beliau kerana ia tidak membantu usaha kerajaan memupuk sikap saling menghormati dalam masyarakat berbilang budaya di Malaysia.

Pengasingan sedemikian katanya, adalah serupa dengan perbuatan mengasingkan pelajar mengikut kumpulan etnik.

“Keputusan sedemikian hanya akan dibuat oleh pihak pengurusan yang berfikiran sempit. Matlamat mahu memudahkan aktiviti kelas tidak harus mengetepikan agenda lebih besar, iaitu perpaduan,” katanya.

Semalam FMT melaporkan pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Kota Kinabalu ditempatkan ke kelas mengikut anutan agama masing-masing.

Langkah pengasingan itu bermula pada Januari lepas dengan 4 kelas diperuntukkan kepada pelajar bukan Islam, dan 2 untuk pelajar Islam.

Satu petisyen atas talian menolak keputusan sekolah itu dilancarkan 3 hari lepas dan berjaya mengumpul 12,300 tanda tangan.

Pengasingan kelas itu dijangka terpakai untuk tempoh 3 tahun akan datang.

Dalam satu rakaman video, pengetua sekolah berkenaan menjelaskan antara sebab sistem baru itu diperkenalkan ialah isu keselamatan pelajar, kekurangan bilik darjah untuk subjek Pendidikan Islam dan aduan pelajar yang keliru tentang lokasi kelas mereka.

Pelajar Tingkatan 2 hingga 5 lain mempunyai sistem kelas seperti biasa.

FMT

Post a Comment

0 Comments