Awas mungkin gerak-geri anda diperhatikan walaupun berada di dalam ruang peribadi seperti bilik tidur atau tandas.
Siapa sangka kamera disembunyikan dalam pelbagai bentuk semata-mata hanya untuk merakam dengan tujuan yang tidak baik.
Malah ia pasti menjadi igauan ngeri sekiranya dirakam oleh kamera tersembunyi yang bertujuan untuk memerangkap mangsa.
Terkini, kecoh mengenai penjualan kamera pengintip di sebuah laman web e-dagang terkemuka selepas pemilik akaun @wanabdulhafidz1 memuat naik posting di Twitter Khamis lalu.
“Minta kaum hawa (perempuan) agar berhati-hati bila guna tandas awam, hotel, chalet atau bilik persalinan. Ni CCTV bukan skru dan bersepah jual kat online,” ujarnya pada posting berkenaan.
Menerusi gambar yang dimuat naik pada posting tersebut, harga bagi seunit kamera tersembunyi tanpa wayar yang kelihatan seperti sebatang skru itu adalah RM135.59.
Shopee menerusi satu kenyataan media berkata, pihaknya telah menarik barangan yang dijual oleh peniaga terbabit dalam tempoh 24 jam selepas laporan dibuat oleh pengguna laman e-dagang berkenaan.
Sesiapa sahaja boleh terperangkap dengan kamera berbentuk skru ini.
“Ya, barang tersebut telah dijual di Shopee.
“Penjualan ditarik kerana ia mengandungi imej yang dianggap tidak sesuai dan kandungan yang menunjukkan kamera boleh digunakan untuk rakaman yang tidak munasabah tanpa persetujuan orang yang direkodkan,” memetik laporan media berdasarkan kenyataan wakil Shopee.
Tambahnya, sebilangan besar produk disenaraikan di laman Shopee pada setiap hari dan pihaknya tidak dapat menyemak setiap penyenaraian produk dengan segera.
Namun, syarikat e-dagang itu mempunyai pasukan khas untuk mengkaji semula barangan yang disenaraikan oleh penjual dengan mengambil perhatian ke atas kata kunci yang menyinggung, barang larangan dan produk tiruan.
Penjualan ditarik kerana ia mengandungi imej yang dianggap tidak sesuai dan kandungan yang menunjukkan kamera boleh digunakan untuk rakaman yang tidak munasabah tanpa persetujuan orang yang direkodkan.
“Dalam kes ini, penyenaraian itu telah dipadam dan didenda. Penjual dimaklumkan melalui e-mel, notifikasi tolakan dan pemberitahuan pada aplikasi Shopee.
“Jika penjual memuat naik penyenaraian atau imej yang serupa berulang kali, Shopee akan terus mengambil tindakan sehingga akaun mereka dibekukan,” tegasnya.
Shopee turut menyeru agar pengguna aplikasi dan laman web Shopee agar melaporkan tentang sebarang masalah menerusi pautan ‘report this product’ untuk tindakan selanjutnya.
Mereka juga boleh berbuat demikian menerusi e-mel kepada support@shopee.com.my atau menghubungi talian 03-2777 9222 pada waktu operasi bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk cuti umum.
FMT
0 Comments