Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya tidak memperlekehkan rakyat dan melayan mereka seperti orang bodoh.

Mengakui bahawa “perasaan seronok” yang terhasil daripada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas semakin menghilang, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin berkata, perasaan itu kini digantikan dengan perasaan tidak puas hati yang semakin banyak.

“Saya yakin dengan rakyat. Mereka lebih pandai daripada sangkaan anda.

“Jika anda jujur, mereka akan faham. Jangan pandaang mudah rakyat. Rakyat tidak suka kalau anda layan mereka seperti orang bodoh,” katanya dalam satu temu bual dengan akhbar Sunday Star.

Ketika ditanya tentang pencapaian kerajaan PH, bekas menteri kewangan itu berkata, lebih penting ialah bagaimana rakyat menilai prestasi itu.

Katanya, PH masih “sangat muda” dan pemimpinnya mesti meneroka matlamat dan prinsip bersama yang boleh dikongsi dan perjuangkan oleh kesemua anggota pakatan politik itu.

“Pakatan perlu fokus pada kekuatannya, iaitu komitmen pada demokrasi dan janji untuk memperkuat institusi perlembagaan kita,” kata beliau.

Dalam temu bual 90 minit itu, ketika ditanya jika wujud masalah dari sudut perkongsian kuasa dan kebolehan menteri yang dilantik menganggotai Kabinet, Daim berkata, “PH masih di peringkat umur kanak-kanak”.

“Jadi isu awal seperti perkongsian kuasa akan timbul kerana tidak semua orang tidak mementingkan diri sendiri.

“Bagaimanapun perwakilan parti komponen dalam Kabinet seimbang. Tidak seperti Barisan Nasional (BN), PH tidak mengamalkan kaedah perwakilan berkadar. Semua anggota setaraf,” katanya.

Daim juga mengemukakan pandangannya mengenai beberapa isu lain.


Pengganti Dr Mahathir

Ditanya tentang calon terbaik bagi menggantikan Dr Mahathr Mohamad sebagai perdana menteri, Daim berkata, “individu yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen”.

“…tetapi perkara ini telah diputuskan. Saya tidak faham kenapa ia terus dibangkitkan.

“Ada beberapa pihak yang suka mengambil peluang di atas ketidakstabilan. Mari kita tumpukan perhatian kepada ekonomi, sekali gus menyelesaikan isu yang akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.”

Daim berkata, tidak ada salahnya jika sebuah parti politik mahu bekerjasama dengan parti politik yang lain.

“Tetapi masalah akan timbul sekiranya anda berkata kerjasama anda adalah bagi memperjuangkan kaum atau agama tertentu.”


Politik perkauman

Daim berkata, politik perkauman tidaklah semakin memecahbelahkan, sebaliknya politik kini semakin berpecah mengikut garis perkauman.

“Ia mungkin bermula sebagai satu bentuk “permainan” yang dimainkan oleh ahli politik untuk mendapat sokongan, tetapi akan tiba ketikanya apabila ahli politik tidak berupaya mengawal emosi dan tindakan penyokong mereka.

“Ahli politik akan membangkitkan semangat mereka sehingga ia meluap-luap, akan tetapi apabila ia tidak dapat dikawal, mereka (ahli politik) akan berlepas tangan. Negara rugi, rakyat akan menderita akibatnya,”

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum dan agama.

“Kita tidak boleh lari daripada kenyataan ini. Malaysia dibangunkan dengan darah, peluh dan air mata semua kaum yang bekerja bersama-sama.”


Mengetuai CEP dan rundingan ECRL

Ketika ditanya apakah beliau bimbang sekiranya pelantikannya sebagai pengerusi CEP dan mengetuai beberapa tugas kerajaan seperti rundingan ECRL dengan China tidak diterima baik dalam kalangan sesetengah anggota PH, Daim berkata, beliau tidak terdengar rasa tidak puas hati sebegitu.

Sebilangan penulis blog mencadangkan saya tidak mengetuai rundingan tersebut.

“Hakikatnya tidak ramai menteri dalam PH yang mempunyai apa-apa pengalaman berunding dengan China. Saya mendapat peluang dan mempunyai pengalaman bekerja dengan kerajaan China selama bertahun-tahun dan berjaya menjalin hubungan berharga dengan mereka.

“Saya percaya sekiranya negara mendapat manfaat daripada rundingan yang saya kendalikan sekarang, maka mereka yang dikatakan tidak gembira itu akan menerimanya dengan baik.”

Beliau bersetuju dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa rundingan itu mengambil masa dan rumit.

“Beliau (Lim) sibuk dan untuk mengurus semua rundingan 2 hala ini akan menyebabkan beliau terpaksa menghabiskan masanya untuk satu perkara sahaja.

“Saya telah membantu kerajaan dalam isu rundingan 2 hala sejak tahun 80-an. Saya gembira sekiranya dapat menyerahkan rundingan itu kepada mana-mana orang yang berminat. Saya tahu (Tan Sri) Rafidah Aziz, antara lain, ada pengalaman dalam bidang ini.”

Ditanya sama ada beliau akan mengubah mana-mana syor CEP dalam keadaan sekarang, Daim berkata, “saya tidak boleh beritahu anda tentang itu kerana ia bermakna saya akan mendedahkan kandungan laporan CEP. Hanya perdana menteri boleh berbuat demikian.

“Sebagai anggota CEP kami tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Ada yang menulis dan berkata bahawa CEP menggugat kedudukan Kabinet. Jelas ada pihak yang tidak memahami Perlembagaan kita. Untuk pengetahuan anda, sesetengah negara mempunyai CEP dalam versi tertentu sebagai sebuah institusi kekal. Anda fikir ia menggugat Kabinet mereka?”

FMT