Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut bersetuju dengan kekecewaan yang diutarakan MP Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pada wawancara baru-baru ini, kata Dr Wan Azizah Wan.
Timbalan perdana menteri dipetik laporan FMT berkata kerajaan pimpinan PH perlu menerima kenyataan Nurul Izzah sebagai teguran membina dan bekerjasama memperbaiki prestasi pentadbiran.
"Saya baca mengenainya dan perdana menteri pun setuju dengan kekecewaan Izzah jadi ia tidak menjadi masalah.
“Adakah satu kesalahan? Dia tidak sentuh pasal penyelewengan, isu ambil duit negara atau apa jua isu lain. Kita sebagai kerajaan perlu ambil sebagai teguran yang membina,” katanya malam tadi.
Minggu lalu, Nurul Izzah dalam wawancaranya dengan akhbar Singapura, Straits Times memberi gambaran bahawa penggal ini merupakan yang terakhir baginya menjadi wakil rakyat.
Antara lain, Nurul Izzah menyatakan rasa kecewanya dengan kemasukan bekas wakil rakyat Umno dalam parti komponen PH.
Selain itu, ahli parlimen Permatang Pauh itu juga menyentuh tentang cabaran bekerjasama dengan Dr Mahathir yang disifatkannya sebagai "bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan."
“Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah," katanya.
Nurul Izzah juga menyifatkan agenda perubahan di bawah pentadbiran PH berjalan terlalu perlahan.
"Ia (agenda perubahan) perlahan.. Salah ke saya cakap macam tu? Adakah ia tidak boleh diterima? Saya rasa okey saja sebagai seorang rakyat, sesiapa pun boleh komen mengenai langkah reformasi itu dan Insyallah kita akan ke arah itu bersama," katanya.
Susulan daripada itu, Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali melalui hantaran Twitter pada 25 Mac lalu menyebutkan bahawa Malaysia memerlukan pemimpin yang akan berjuang sehingga ke saat akhir, dan bukannya pemimpin yang "cengeng".
Meskipun tidak menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan, kenyataan menteri hal ehwal ekonomi itu dipercayai ditujukan buat Nurul Izzah yang juga bekas naib presiden PKR.
Membalas kenyataan Azmin, Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengirim ciapan di Twitter pada hari yang sama, berkata adalah tidak wajar untuk menggelarkan "seorang wanita yang menyatakan pendirian sebagai cengeng."
Malaysiakini
0 Comments