Dalam ucapannya pada satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, Mahathir mengingatkan bahawa raja mungkin menggunakan kuasa untuk kepentingan diri dan bukannya negara sekiranya diberi kuasa mutlak.
Beliau merujuk sejarah tanah air yang menyaksikan keputusan raja-raja menyerahkan Tanah Melayu kepada British dan menandatangani perjanjian yang akhirnya menyebabkan kehilangan Singapura.
"Ini kita lihat bila kita beri kuasa mutlak kepada raja-raja, kerana kadang-kadang mereka lebih utamakan kepentingan diri daripada negara yang mereka memerintah. Ini bukan sekali sahaja, ini berlaku berkali-kali," kata Mahathir.
Menurut Mahathir, ini juga sebab mengapa dalam sistem demokrasi berparlimen, raja tidak memiliki kuasa eksekutif.
"Sebab itu kita mengadakan sistem pemerintahan yang mana raja tidak mempunyai kuasa eksekutif dan ini boleh menyelamatkan rakyat.
"Rakyat akan tentukan dasar-dasar negara melalui wakil-wakil mereka. Wakil-wakil mereka pilih kerajaan. (Jika) Menyeleweng, rakyat boleh menjatuhkan mereka," katanya.
'Melayu masih berfikiran feudal'
Tambah beliau bagaimanapun orang Melayu masih berfikiran feudal iaitu mengganggap adalah tidak boleh membantah raja walaupun mereka melakukan sesuatu jenayah atau melanggar undang-undang.
"Dengan itu, raja bertindak melakukan beberapa perkara yang tidak mengikuti undang-undang.
"Tapi sehingga sekarang, kita lihat tidak ada tindakan yang akan diambil oleh pegawai-pegawai kerajaan walaupun mereka sedar bahawa apa yang dilakukan oleh raja bercanggah dengan undang-undang.
"Ini masalah kita hadapi kerana di satu pihak kita akan berpegang kepada the rule of law, di satu pihak yang lain adalah mengatasi undang-undang dan kita ketepikan undang-undang kerana adat.
"Apakah kita rela ini berterusan? Ini adalah keputusan boleh diambil oleh rakyat sendiri kalau rakyat begitu sekali takut untuk tidak melayan raja-raja, dan raja-raja menjadi raja yang luar daripada perlembagaan, maka rakyat akhirnya yang akan menjadi mangsa. Raja juga akan jadi mangsa," kata Mahathir.
Pertelingkahan antara Mahathir dan keluarga diraja Johor berlaku di tengah-tengah isu peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor.
Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata ia adalah hak mutlak bapanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melantik menteri besar.
Sebagai respons, Mahathir berkata parti yang menang (Bersatu) mempunyai hak untuk memilih menteri besar Johor yang baru dan bukan sultan.
Sultan Ibrahim yang kini berada di luar negara, kemudian bertitah menggesa "pihak tertentu" untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri itu, sambil menambah baginda akan membuat keputusan mengenai perkara itu tidak lama lagi.
Mahathir kemudian mengingatkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan sistem monarki mutlak, sebaliknya raja perlembagaan.
Perdana Menteri menambah Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara demokrasi jika raja memilih perdana menteri atau menteri besar.
Osman berkata beliau akan menjelaskan sebab di sebalik peletakan jawatannya pada Sabtu ini selepas menghadap Sultan Ibrahim.
Malaysiakini
0 Comments