Digantung 12 Bulan Kerana Persoal Ketepatan Waktu Speaker

Jawatankuasa Hak Keistimewaan Dewan Undangan Negeri Sarawak telah memerintahkan Adun Padungan Wong King Wei digantung 12 bulan bermula hari ini berikutan kenyataannya yang menyingung perasaan Dewan dan Speaker pada persidangan DUN lepas, pada tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika membentangkan usul mengenai laporan Jawatankuasa Hak Keistimewaan itu sebelum itu berkata, dewan memutuskan untuk menerima saranan-saranan jawatankuasa berkenaan selepas 64 daripada 82 Adun mengundi menyokong penggantungan tersebut.

Jawatankuasa Hak Keistimewaan telah mengadakan ikuiri pada 18 Feb lepas terhadap kenyataan Wong yang dianggap telah menyinggung perasaan, melukakan hati serta menyakitkan hati Dewan Undangan Negeri Sarawak, eksekutif dan Speaker Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Ini berikutan kenyataan yang diucapkan Wong pada persidangan dewan undangan negeri pada 12 November lepas di mana beliau dikatakan telah mempersoalkan ketepatan waktu speaker dalam mengendalikan mesyuarat-mesyuarat.

'DUN seperti pasar ikan'

Ketika ditemui pemberita kemudian, Wong berkata beliau berasa telah diberi layanan kasar dan tidak adil oleh dewan undangan negeri dan Speaker hanya semata-mata kerana kenyataannya itu.

“Ia komen yang adil dan membina, bukan terhadap speaker secara peribadi tetapi untuk tujuan pembaharuan dewan undangan negeri,” kata Adun DAP itu, dan menambah, beliau akan mencabar penggantungannya itu di mahkamah selepas merujukkan perkara itu kepada pasukan perundangan DAP.

Ketika membentang usul tersebut Abdul Karim berkata: "Speaker adalah wakil kepada dewan undangan negeri kerana beliaulah jurucakap dan pemerhati kepada seluruh peraturan untuk menjaga ketenteraman dan ketertiban persidangan... yang mana ketiadaan speaker akan menjadikan dewan ini seperti sebuah pasar ikan.

“Setiap sesi, sama ada dalam persidangan dewan undangan negeri, di padang bola sepak atau apa juga permainan, mesti ada pengadil untuk memberi bimbingan dan mesti ada peraturan dan ketertiban dalam melakukan sesuatu perkara,” kata beliau.

Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala sebelum ini berkata, tindakan merujukkan Wong kepada jawatankuasa itu adalah selari dengan amalan di parlimen Westminster dan Perintah Tetap 89 DUN Sarawak.

Malaysiakini

Post a Comment

3 Comments