Mazhab Sosialis Malaysia....

Sosialis di Malaysia ada dua mazhab. Satu Sosialis yang KeIndonesiaan. Satu lagi Sosialis yang KeLiberalan. Aku tak fikir untuk lawan kepada Sosialis yang keLiberalan di Malaysia adalah Sosialis yang Konservatif. Aku nampak lebih tepat adalah Sosialis yang KeIndonesiaan. Dan mungkin juga jika geografi/tempat (Indonesia) dijadikan sebagai kayu ukur, nama lain bagi Sosialis yang Keliberalan adalah Sosialis yang KeBaratan.

Bukanlah tidak boleh diletak Sosialis yang keMalaysiaan, tetapi sebenarnya Malaysia adalah projek asal penjajah (British), yang menyebabkan identiti nasionalnya kuca lana (kacau bilau). Jadi sosialis-sosialis yang wujud di dalam nation-state ini teraba-raba mencari identiti mereka yang sebenarnya, proletar yang bagaimana, bahasa apa, berbudaya apa dan pelbagai lagi.

Jadi jika Sosialis di Malaysia itu gemarkan sastera, budaya, bahasa, bahkan agama, atau biasanya dipanggil religius, bahkan juga kearifan lokal, dan selalunya dalam bentuk Bahasa Melayu atau kebudayaan orang Melayu/majoriti, lebih senang aku memanggil hal ini bukan dengan nama Sosialis yang Konservatif, tetapi Sosialis yang KeIndonesiaan. Cuba perhatikan, kalangan ini pasti akan selalu merujuk Pramoedya, Thukul, Soekarno, Tan Malaka, Tjokroaminoto dll dan keberpihakan mereka atau jika mereka menyusun tulisan atau rangkap puisi, selalunya mengaitkan dengan pekerjaan seperti nelayan, petani, kerana masyarakat proletar (lebih tepat, miskin atau marhaen) di sini mempunyai tanah. Ia tak sama langsung dengan masyarakat proletar di Barat. Mereka cuba merasuk dan meresap ke dalam masyarakat (jika melalui tulisan) dengan genre seperti sajak/puisi, bukan dengan berbuku-buku tebal.

Sementara Sosialis yang KeLiberalan itu kebanyakannya adalah orang bandar (lebih tepat membesar dan bergolak di bandar) (lebih tepat lagi mereka cenderung atau selalu disinonimkan dengan intelektualisme, jargon, buku, tulisan-tulisan dalam bahasa Inggeris dll lagi). Nilai atau budaya Barat sangat dikedepankan. Agak kurang apresiasi mereka dalam hal kebudayaan-kebahasaan yang biasanya dianggap "Kanan" atau "Konservatif". Kerana itu BM mereka agak bermasalah atau rojak dalam perbicaraan (dan menganggap itu tak apa dan biasa), mereka biasa dan kerap menjadikan BI sebagai bahasa pertuturan. Kerana BI dianggap mempunyai nilai dan budaya ilmiah yang kuat.

Hal ini semua sangat terpancar secara konkrit melalui parti-parti politik berhaluan Kiri di Malaysia seperti Parti Buruh (yang lebih diasosiasikan dengan orang Cina) dan Parti Rakyat (yang lebih dekat dengan orang Melayu). Dan perpecahan di antara kedua ini dalam Socialist Front juga antaranya disebabkan isu bahasa.

Apapun yang diperkatakan semua ini tidaklah sepenuhnya tepat. Adakalanya kedua-duanya saling bercampur jua. Tidak begitu ketat dan tidak begitu tetap. Tetapi kita terbuka untuk berbahas.

*Sebenarnya istilah semua ini boleh sahaja kita adakan jika kita siap untuk bahaskan berdasarkan pandangan dan pengalaman kita masing-masing. Sosialis yang KeLiberalan (SKL), Sosialis yang KeBaratan (SKB), Sosialis yang KeIndonesiaan (SKI), Neo Feminis (NF) dan banyak lagi. Tak perlu menunggu sarjana-intelektual di menara gading sahaja untuk turun dan bahaskan.

Benz Ali

Post a Comment

0 Comments