Kerajaan negeri tetap melaksanakan caj percuma bagi pesakit wad kelas tiga di semua hospital kerajaan negeri itu, selewat-lewatnya Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, berkata ia tetap dilaksanakan walaupun tanpa ‘restu’ Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa perancangan untuk melaksanakan perkara itu yang juga antara manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Sepatutnya kita nak mulakan Januari lalu, tetapi tidak mendapat restu Kementerian Kesihatan.
“Ketika ini kita masih berbincang secara adik-beradik dengan kementerian dan sekiranya tetap tidak direstui, kita akan laksanakan pelan yang dirancang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) mengenai penguatkuasaan caj percuma untuk pesakit wad kelas tiga pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Alias berkata, caj wad kelas tiga yang dibayar di hospital negeri itu berjumlah RM3.89 juta menerusi 84,946 pesakit pada 2017 dan RM3.6 juta membabitkan 76,206 pesakit tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma wad kelas tiga.
Beliau berkata, kementerian menolak cadangan itu atas alasan boleh mendorong lambakan pesakit di wad kelas tiga, selain katil di wad sedia ada tidak mampu menampung bilangan pesakit yang ramai.
Katanya, ia juga dilihat akan menyebabkan peningkatan kos pentadbiran, pertambahan bilangan perjawatan, kekurangan kakitangan di Unit Hasil hospital, ketiadaan sistem bagi melaksanakan cadangan itu dan boleh menimbulkan isu audit pada masa depan.
Alias berkata, kerajaan negeri mempunyai mekanisme pelaksanaan yang kemas termasuk menempatkan pegawai di hospital untuk urusan bil.
“Kita cadangkan pihak hospital hantar bil kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dua minggu sekali dan kita akan bayar, tetapi ia turut ditolak oleh kementerian.
“Justeru, kita akan tempatkan pegawai di hospital khusus untuk melaksanakan pembayaran bil wad pesakit kepada hospital.
“Jika kerajaan Persekutuan menerusi kementerian tidak mahu tanggung gaji pegawai tidak mengapa, kerajaan negeri akan bayar,” katanya.
Bharian
0 Comments