Veteran DAP Lim Kit Siang berkata sekiranya PBS memenangi pilihan raya kecil Sandakan, ia sebenarnya adalah kemenangan buat Umno dan PAS.

Mengulas kebimbangannya terhadap kenyataan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa parti itu akan menggerakkan 9,700 ahli Umno untuk mengundi PBS, Lim memberi amaran bahawa jika ini benar, PBS mempunyai peluang baik untuk menang.

"Jika Umno mempunyai 9,700 ahli dan semua mereka mengundi PBS, maka mereka akan mendapat (lebih kurang) 10,000 (undi Melayu).
"Jika mereka dapat empat hingga lima ribu undi lagi, maka mereka akan menang dengan 15,000 undi.
"Rakyat Sandakan mesti membuat keputusan. Ini adalah perkara yang sangat serius (kerana) jika PBS menang, ia bukan kemenangan PBS, ia adalah kemenangan buat Umno dan PAS,” kata Lim pada sidang akhbar di Sandakan hari ini.

Beliau berkata ada kemungkinan PBS boleh menang dengan majoriti antara 200 hingga 300 undi, sebab itulah setiap undi amat penting.

"Penyokong mesti pulang untuk mengundi di Sandakan jika mereka berada di negeri. Kita tidak boleh memandang ringan, kerana ada kemungkinan kita boleh kalah," kata Lim.

Isnin lalu, Bung Moktar pada satu ceramah berkata, Umno Sabah akan menggerakkan 9,700 ahlinya untuk mengundi PBS pada pilihan raya kecil Sandakan.

Pada pilihan raya umum ke-14, Stephen Wong DAP memenangi kerusi Parlimen Sandakan dengan majoriti 10,098 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian Wong pada 28 Mac lalu.

PBS mencalonkan Linda Tsen bagi berdepan dengan calon DAP, Vivian Wong, yang merupakan anak bongsu Wong, serta tiga calon Bebas lain.

Malaysiakini