Dr Agus - PTPTN Mungkin Menjadikan PH Kerajaan Sepenggal ?

PTPTN merupakan isu sensitif.  Salah urus isu ini membolehkan kerajaan tumbang dalam PRU-15 nanti. Bayangkan terdapat 3 juta peminjam PTPTN yang tidak berpuas hati kerana merasakan kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihan rayanya.

Manifesto PH menjanjikan pembatalan sekatan ke luar negara, dan menangguhkan pembayaran bagi peminjam berpendapatan RM4k ke bawah.  Apabila menang PRU, janji ini dilaksanakan, tetapi kelmarin PTPTN membuat cadangan untuk u-turn keputusan yang telah dibuat.

Apapun alasan PTPTN, hal ini tidak wajar dipusing semula kerana anak muda bukan mahu melihat polisi ke belakang, tetapi melihatnya ke depan.  Apa dasar negara untuk mereka dari segi peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup, bukannya polisi kerajaan untuk menyekat hak peminjam PTPTN ke luar negara, memperbaharui pasport, lesen, dan lainnya.


Bagaimana reaksi rakyat?

Apabila PTPTN mengumumkan cadangannya, ramai peminjam kecewa dan marah. Dahulu PH berjanji hendak menghapuskan PTPTN dan memberi pendidikan percuma, di manakah janji-janji tersebut sekarang? Kata mereka, seteruk-teruk UMNO dahulu, tidak banyak dasarnya yang U-turn.

Bagi yang bersetuju pula, mereka menyatakan tindakan PTPTN wajar kerana peminjam ini tidak ada tanggungjawab.  Jangan harapkan semua percuma dari kerajaan.   Hutang wajib dibayar supaya dapat diberikan kepada generasi akan datang.

Mereka juga menyatakan PTPTN tidak kejam.  Yang kejam adalah peminjam yang ada kerja dan gaji melepasi paras kemiskinan, tetapi tidak mahu membayar hutang.  Golongan yang liat ini mampu membayar ansuran kereta, bil Unifi, bil handphone dan lainnya, tetapi tidak mampu membayar PTPTN sebanyak RM50 sebulan. Memang patut disekat perjalanan ke luar negara. 


Betulkah peminjam tidak mahu bayar?

Sebenarnya peminjam mahu membayar pinjaman mereka, tetapi dasar ‘bayaran balik’ PTPTN menolak mereka daripada membuat pembayaran.  Jika peminjam pergi ke PTPTN untuk mula membuat pembayaran kerana baharu stabil kewangannya, PTPTN mahu peminjam membayar balik semua tunggakan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran.

Ramai yang menyatakan dasar PTPTN ini dungu. Sepatutnya kena mudahkan orang membayar balik, bukannya tambah lagi beban orang yang hendak membayar.  Jika kena selesaikan tunggakan dahulu, maka inilah yang menyukarkan peminjam membuat pembayaran.  Di mana mahu mencari selonggok wang sekali gus?

Banyak lagi yang boleh dikupas, tetapi sengaja tidak diulas kerana PTPTN pun sedang membuat Konsultasi Rakyat sehingga Jun ini.  Saya cuma menulis ini supaya PTPTN boleh melihat semula dasar bayaran baliknya dan bersikap proaktif dalam menangani masalah peminjam.  PTPTN mesti mencari penyelesaian win-win, bukan lose-lose.

Gagal berbuat demikian, maka semakin dekatlah kerajaan PH ini menjadi Kerajaan Sepenggal.

Dr Agus

Post a Comment

0 Comments