Hijab Dilarang Tetapi Patka Sikh & Kippa Yahudi Dibenarkan....

Ahli Parlimen Austria meluluskan undang-undang yang melarang pemakaian tudung di sekolah rendah pada Rabu, usul yang dicadang kerajaan bersayap kanan.

Untuk mengelakkan dakwaan undang-undang itu mendiskriminasi umat Islam, kandungannya merujuk sebarang “kain yang dipengaruhi secara ideologi atau dari segi agama untuk menutup kepala”.

Bagaimanapun, wakil rakyat daripada gabungan pemerintah Parti Rakyat (OeVP) dan Parti Kebebasan (FPOe) menjelaskan dasar itu menyasarkan tudung bagi umat Islam.

Jurucakap pendidikan FPOe, Wendelin Moelzer berkata undang-undang itu ialah “isyarat menentang Islam politik”, manakala ahli Parlimen OeVP, Rudolf Taschner berkata langkah itu perlu untuk membebaskan gadis daripada “penguasaan”.

Bagaimanapun, kerajaan berkata, patka yang dipakai lelaki Sikh atau kippa yang dipakai lelaki Yahudi tidak terjejas dengan dasar baru itu.

Pertubuhan masyarakat Islam rasmi di Austria, IGGOe sebelum ini mengecam cadangan itu sebagai “memalukan” dan “taktik mengalihkan perhatian”.

Katanya, dalam sebarang kes, hanya dalam “jumlah yang amat kecil” gadis akan terjejas.

Hampir semua ahli Parlimen pembangkang mengundi membantah usul itu dengan ada yang mendakwa kerajaan menumpukan perhatian untuk mendapat liputan positif media berbanding kebajikan kanak-kanak.

Keajaan mengakui undang-undang itu mungkin dicabar di mahkamah perlembagaan Austria, sama ada atas dasar diskriminasi agama atau kerana undang-undang sedemikian yang menjejaskan sekolah biasanya diluluskan dengan majoriti 2/3 ahli Parlimen.

OeVP dan FPOe membentuk gabungan pada lewat 2017 selepas pilihan raya umum dengan kedua-dua parti mengambil pendirian tegas anti-migresen dan memberi amaran mengenai bahaya yang didakwa “masyarakat terasing”.

FMT

Post a Comment

1 Comments