Aku Tak Nampak Pun Pegawai KPDN Berkeliaran.. Tak Logik Hanya 2 Kes Kenaikan Harga..

Hanya 2 kes melibatkan peniaga bertindak menaikkan harga barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan dicatat sepanjang 10 hari tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sejak ia dilancarkan 21 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 110 kes membabitkan kesalahan peniaga tidak mempamerkan tanda harga direkodkan sepanjang pemeriksaan ke atas 28,242 premis perniagaan di seluruh negara.

“Hanya 2 kes peniaga menaikkan harga barang, maka kita melihat skim kawalan harga musim perayaan ini berjaya dan sangat berkesan. Ia menyaksikan peniaga kita mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian.
“Malah sepanjang pemantauan penguat kuasa kita khususnya di pasar raya sehingga semalam, kebanyakan 27 barang kawalan dalam SHMMP dijual dibawah harga ditetapkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar bersama pengamal media zon utara di sini, malam tadi.

Saifudin berkata, berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan, terdapat peniaga yang menjual harga jauh lebih murah berbanding harga ditetapkan kementerian umpamanya ayam dijual pada harga RM3.99 sekilogram, iaitu di Junjung, Kota Bahru Kelantan.

Beliau berkata, sebuah syarikat tempatan yang merupakan satu-satunya pengimport sejenis barangan utama pengguna di negara ini dikenal pasti mengaut keuntungan sebanyak 133%.

Katanya margin keuntungan tersebut dikenal pasti oleh pihaknya menerusi harga jualan barangan terbabit kepada pemborong.

Bagaimanapun beliau berkata, pada masa ini nama syarikat dan jenis barangan itu masih belum boleh didedahkan kepada umum kerana notis beri alasan yang dikemukakan kepada mereka belum dapat diserahkan kepada pihak pengurusannya.

“Kita tahu siapa pengimport terbabit dan kementerian sudah berusaha mengeluarkan notis kepada mereka supaya mengemukakan alasan kenapa mengaut margin keuntungan secara berlebihan.
“Kita sudah berusaha menghantar notis berkenaan sebelum ini tetapi gagal kerana syarikat terbabit tidak beroperasi pada hari terbabit,” katanya.

Saifuddin berkata, menjadi perkara biasa jika sesebuah syarikat mahu memastikan perniagaannya mendapatkan keuntungan namun mengaut keuntungan yang berlebihan adalah satu tindakan yang tidak bersesuaian.

 FMT

Post a Comment

0 Comments