Ancaman Terhadap Periuk Kera...

Lemang periuk kera semakin mendapat perhatian sebagai juadah hari raya sehingga semakin ramai peniaga mengambil peluang untuk turut menjual sajian tersebut.

Bagaimanapun, pakar taksonomi tumbuhan dan biologi pemuliharaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Dr Abdul Latiff Mohamad berkata beliau melihat trend itu sebagai sesuatu yang membimbangkan biarpun tumbuhan periuk kera tidak tergolong dalam tumbuhan terancam.

Hal itu katanya disebabkan kegilaan peniaga lemang periuk kera menuai tumbuhan tersebut dalam jumlah banyak setiap kali tiba musim perayaan.

“Ambil sikit-sikit tak apa. (Tapi) Ambil banyak itu yang tak tahannya. Serupa juga dengan pembalakan.
“… Yang diambil itu (spesis) yang macam cawan itu, ampullaria. Dia banyak, di tanah kerajaan, di hutan simpan pun ada, di tepi-tepi jalan pun ada. Banyak.
"Tapi walaupun banyak sekarang, tapi kalau diragutnya setiap Ramadan, tak cantik juga,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau merujuk kepada spesis periuk kera dengan nama saintifik nepenthes ampullaria yang sering dicari pengusaha lemang periuk kera untuk menyediakan juadah tersebut.

Abdul Latiff ialah antara individu yang membangkitkan kebimbangan terhadap trend lemang periuk kera di Facebooknya dan hantarannya banyak dikongsi oleh mereka yang berkongsi pandangan serupa.

Dalam hantarannya itu, Abdul Latiff meluahkan rasa terkejutnya dengan laporan akhbar tentang pengusaha lemang periuk kera yang semakin berleluasa.

Malah, berdasarkan gambar yang dilihatnya dalam laporan tersebut, Abdul Latiff berpendapat bukan hanya periuk kera spesis nepenthes ampullaria sahaja yang diragut, tetapi juga spesis lain seperti nepenthes mirabilis dan lain-lain.

“Sebelum kerja berlarutan saya mohon Jabatan Perhutanan mewartakan semua 13 spesis periuk kera di Semenanjung Malaysia dan meletakkannya dalam spesis yang dipelihara dan dipulihara,” tulisnya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, hantaran itu mengundang rasa tidak senang di kalangan pengusaha lemang periuk kera yang tampil memuat naik hantaran balas.

Antaranya Adam Uzair Firdaus Aman yang membidas pandangan Abdul Latiff di Facebooknya dengan menyatakan pengusaha hanya menuai spesis nepenthes ampullaria yang tidak terancam dan mudah didapati di seluruh hutan tropika.

Kata Adam, penuai tidak akan menuai periuk kera bersaiz terlalu besar dan terlalu kecil bagi kelangsungan hidup tumbuhan itu untuk tahun seterusnya.

Bagaimanapun, berbeza dengan Adam, seorang lagi pengusaha, Noor Syafri Abdul Malik, memberitahu dia menggunakan periuk kera jenis nepenthes mirabilis untuk membuat juadah tersebut.

Katanya, sempena musim lebaran tahun ini, dia menerima tempahan 200,000 biji lemang periuk kera, malah turut mendapat permintaan daripada luar negara seperti Dubai dan Melbourne.

Selain daripada jumlah tuaian yang banyak, satu lagi perkara yang dibimbangi Abdul Latiff ialah cara tuaian oleh para penguasaha yang dilihatnya melalui gambar dalam laporan media.

Katanya, pengusaha mungkin meragut tumbuhan itu sehingga ke akarnya sehingga menyebabkan banyak tumbuhan mati dan bukannya menuai kelongsong periuk kera itu sahaja.

Oleh itu, dia menyarankan Jabatan Perhutanan di Semenanjung Malaysia mencontohi Jabatan Perhutanan di Sabah dan Sarawak yang mewartakan periuk kera sebagai spesis tumbuhan yang dilindungi bersama beberapa tumbuhan lain seperti bunga pakma dan sebagainya.


“Kalau berlaku setiap Ramadan begini, berlaku di Johor, Pahang, Terengganu, Perak- aduh.

“Bukan apa, benda macam ni akan jadi heboh.  Jadi (tular) orang di negeri lain pun nak. Tidaklah habis, (tetapi) maknanya (akan) terancamlah,” katanya lagi meluahkan kebimbangannya.  


Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments