Wartawan veteran A Kadir Jasin memberi pendapatnya mengenai isu video seks yang dikatakan dirakam di Sandakan dan didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Walaupun beliau tidak menyentuh video tersebut secara spesifik, Kadir memberikan contoh senarai menteri dari luar negara yang telah meletak jawatan kerana dakwaan salah laku seksual.
"Persoalan yang mesti ditanyakan oleh semua pemimpin Pakatan Harapan adalah, adakah saya menggunakan parti dan kedudukan saya dalam kerajaan untuk melindungi saya daripada salah laku saya atau saya melindungi parti dan kerajaan saya daripada malu dengan melakukan perkara yang betul?" Katanya pada hantaran blog.
Antara contoh yang diberikannya ialah menteri perusahaan kecil, pengguna dan tanggungjawab korporat United Kingdom, Andrew Griffiths yang meletak jawatan kerana menghantar mesej berbau seksual kepada wakil rakyat wanita dan di Kanada pula, menteri pembangunan ekonomi Ontario, Jim Wilson, meletak jawatan atas tuduhan salah laku seksual.
"Di India, juga tahun lepas, timbalan menteri luar Mobashar Jawed Akbar meletak jawatan walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Beliau melepaskan jawatan semata-mata kerana terlibat dalam satu kes saman fitnah terhadap seorang wartawan," katanya yang juga anggota dewan tertinggi Bersatu.
Bagaimanapun, penasihat media khas kepada perdana menteri ini melontarkan pendapatnya atas kapasiti peribadi.
Kadir berkata beberapa orang, termasuk pemimpin tertinggi PKR yang tidak didedahkan namanya, telah mempersoalkan tindakannya berdiam diri mengenai video seks yang disebarkan kepada ahli PKR dan pihak media pada 11 Jun menerusi nombor telefon tidak diketahui di aplikasi Whatsapp.
Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya lelaki dalam video itu dan mendakwa Azmin ialah pasangannya. Haziq mendakwa video itu dirakam secara rahsia semasa pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.
Azmin menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan suatu cubaan membunuh karekter yang bertujuan untuk menamatkan kerjaya politiknya.
Kadir berkata beliau telah menerima "kesan teruk" pada masa lalu kerana mengambil pendirian terhadap "kejadian serupa pada suatu masa dahulu - tepatnya era 1997-98".
Pada masa itu, Kadir berkata reputasinya sebagai seorang wartawan dan editor dipertikaikan, manakala tempat beliau bekerja, akhbar New Straits Times turut mendapat tempias kesannya.
Bagaimanapun, kata Kadir walaupun tidak lagi bekerja di akhbar, masih terdapat orang yang memberi perhatian terhadap ulasannya.
"Oleh sebab itu, saya rasa saya tidak patut menafikan tanggungjawab saya. Oleh itu saya terus mengambil pendirian mengenai kepentingan nasional," katanya sebelum menyentuh mengenai video seks Sandakan.
Kadir berkata video seks itu merupakan ujian terhadap janji PH untuk menjadi terbuka, telus dan bertanggungjawab serta matlamat ntuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, episod ini juga merupakan ujian tahap profesionalisme pasukan polis di bawah kepimpinan baru Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
"Ini adalah satu ujian keupayaan kepimpinan PH untuk bertindak dengan wajar dan untuk meletakkan kepentingan negara melebihi apa yang disukai atau dibenci secara peribadi.
"Ini ujian terhadap kemanusiaan, sikap rendah diri, akhlak dan maruah pemimpin PH secara bersama dan individu," katanya lagi.
MK
0 Comments