Ibubapa Bercerai, Anak Jadi Mangsa Dera Oleh Saudara Terdekat


Tiga beranak, termasuk remaja ditahan selepas dipercayai melakukan penderaan terhadap dua kanak-kanak di rumah mereka di Pusat Bandar Puchong, Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu, pada 12.48 tengah hari.

Menurutnya, sejurus menahan ketiga-tiga suspek, pihaknya menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit, iaitu budak lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia lapan serta tujuh tahun.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan, selain kekurangan zat makanan.

“Suspek yang ditahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan bekerja sebagai penghantar gas, manakala isterinya berusia 30 tahun dan anak perempuan pasangan terbabit berusia 13 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menemui satu kayu cota, satu garpu perak dan sebatang paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, kedua-dua mangsa tinggal bersama keluarga suspek yang juga saudara mereka sejak tujuh tahun lalu selepas ibu bapa mereka bercerai.

Permohonan reman terhadap tiga suspek termasuk seorang remaja perempuan berusia antara 13 hingga 33 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

“Mahkamah membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 20 Jun nanti bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dua kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Serdang.

MK,MK

Post a Comment

0 Comments