Punca Sebenar RCI Salah Laku Hakim Terpaksa Ditangguhkan.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku hakim terpaksa ditangguhkan selepas ada pihak memfailkan saman pemula bagi mencabar penubuhan RCI berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, berkata ada individu memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung keputusan menubuhkan RCI itu.

Beliau berkata, individu itu mendakwa RCI berkenaan melanggar beberapa peruntukan undang-undang, selain tidak mengikut Perlembagaan.

“Perkara ini sudah difailkan di mahkamah dan proses undang-undang perlu dijalankan. Kerajaan akan menunggu keputusan saman ini, tetapi pada masa sama siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap diteruskan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pendedahan seorang hakim mendakwa berlaku salah laku hakim lain membabitkan beberapa kes mahkamah.

Berikutan pendedahan itu pada Februari lalu, kerajaan menyatakan persetujuan menubuhkan RCI bagi menyiasat salah laku hakim seperti didakwa.

Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan RCI pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kedua di Sabah, Vui Keong berkata, ia tidak perlu kerana sudah ada RCI bagi isu sama sebelum ini.

“Namun, apa yang berlaku, laporan itu masih kekal misteri walaupun sudah ramai saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sekiranya ada cadangan yang boleh digunakan dan berkaitan, kita boleh melaksanakannya tanpa melalui pusingan kedua RCI kerana ia tidak praktikal dan membuang masa,” katanya.

RCI berkaitan kebanjiran PATI di Sabah dilaksanakan pada tahun 2012, namun sehingga kini, laporannya belum didedahkan sepenuhnya dan ada yang beranggapan masih tiada tindakan menangani kebanjiran PATI di negeri ini selepas RCI itu siap.

BH

Post a Comment

0 Comments