Perang mulut antara 2 negara itu semakin sengit selepas Trump menarik balik tindakan ketenteraan ke atas Iran sebagai respons terhadap kejadian dron pengintipan AS ditembak jatuh.
Insiden itu, yang berlaku selepas siri serangan kapal tangki di laluan keluar perkapalan di rantau Teluk yang dipersalahkan ke atas Iran, memburukkan lagi hubungan sedia tegang antara kedua negara. Iran menafikan bertanggungjawab atas serangan terbabit.
Trump yang menghabiskan masa bersama penasihatnya di Camp David semalam, pada mulanya berkata, beliau berminat menjadi “sahabat baik” Iran, jika negara itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata nuklear.
“Apabila mereka bersetuju, mereka akan menjadi sebuah negara kaya. Mereka akan gembira dan saya akan menjadi sahabat baik. Saya berharap ia akan berlaku,” katanya kepada media di luar Rumah Putih.
Satu perjanjian antarabangsa dicapai antara Tehran dengan kuasa dunia itu pada 2015 bertujuan mengekang cita-cita nuklear Iran sebagai pertukaran penarikan sekatan.
AS keluar daripada perjanjian itu lebih setahun lalu dengan melancarkan satu sekatan ekonomi ke atas Iran.
“Kami meletakkan tambahan sekatan ke atas Iran pada Isnin.
“Saya tidak sabar menunggu pada hari sekatan ditarik balik dan mereka (Iran) menjadi negara produktif dan makmur. Lebih cepat lebih bagus,” kata Trump di Twitter, tetapi pada masa sama menghantar tentera tambahan ke Asia Barat.
Seorang pegawai atasan tentera Iran memberi amaran kepada Washington supaya tidak melakukan apa-apa serangan, yang disifatkan Trump sebelum itu “masih merupakan satu pilihan”.
“Melepaskan satu peluru ke arah Iran akan menghapuskan kepentingan AS dan sekutunya di rantau itu,” kata jurucakap ketua turus tentera Iran, Brig Jeneral Abolfazl Shekarchi kepada agensi berita Tasnim.
Iran berkata, ia menghukum mati seorang lelaki yang disabitkan kesalahan mengintip untuk AS.
“Hukuman mati dijalankan ke atas Jalal Haji Zavar, seorang kontraktor organisasi angkasa lepas Kementerian Pertahanan yang mengintip untuk CIA dan kerajaan Amerika,” kata agensi berita separa rasmi ISNA, memetik tentera Iran.
FMT
0 Comments