Cari Siapa Warden Penjara Yang Pukul Wan Ji - Anwar Ibrahim


Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendakwa dipukul seorang warden bertopeng ketika ditahan di Penjara Kajang selama 3 hari, selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan bersalah menghina Sultan Selangor pada Selasa lalu.

“Saya cakap jujur, saya kena pukul. Ada seorang budak yang cakap loghat Kelantan, dia pakai baju warden, dia tanya nama saya, saya kata Wan Ji. Dia minta saya tanggalkan cermin mata, kemudian ‘bam bam’ 3 kali dia bagi.
“Saya tanya apa salah aku? Warden yang lain penuh sekeliling dan yang lain ada yang gelak saja, bukan hendak halang,” 

Wan Ji berkata, beliau sudah memaklumkan insiden itu kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Anwar siang tadi sudah telefon pihak penjara. Dia kata cari orang yang pukul Wan Ji, jadi tidak perlu marah dah.”

Katanya, beliau turut dinasihatkan seorang peguam untuk membuat laporan polis berhubung insiden itu.

“Elok-elok dia dapat gaji bulanan, dia kena buang kerja, susah dia hendak cari kerja, kesian dekat dia.
“Saya minta hamba Allah ini tolong serah diri. Apabila dia minta maaf, saya akan tarik laporan. Jika tidak, saya teruskan laporan, nanti awak kena buang kerja. Kalau awak minta maaf, saya tarik. Saya harap awak kerja dengan elok.”

Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Wan Ji selepas menolak rayuannya terhadap sabitan bersalah menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah 7 tahun lalu.

Beliau dimasukkan ke Penjara Kajang pada hari sama dan hanya dibebaskan pada 12 Julai lalu, apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun itu.

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan ke atas Wan Ji kerana memuat naik perkataan menghina Sultan Selangor, termasuk membabitkan isu agama melalui Facebook pada 5 November 2012.

FMT

Post a Comment

0 Comments