Harap Sultan Johor Bantu Selesaikan Kemelut Tanah Bekas Pejuang Kemerdekaan

Kampung yang menempatkan bekas pejuang kemerdekaan di Kampung Air Putih Lapis 1, Sri Medan Batu Pahat Johor kini tidak diiktiraf sebagai penempatan yang sah lagi apabila penduduk kampung di situ menyatakan bahawa kampung tersebut bakal dibangunkan.

Kampung yang menempatkan seramai 200 lebih peserta itu telah mendapat maklumat bahawa rumah yang mereka diami selama lebih 80 tahun itu akan dirobohkan.

Menurut penduduk di situ Sarip Peto, 75, berkata sejak 1940 lagi kampung itu telah didiami oleh masyarakat di situ dan segala permohonan telah dibuat bagi mendapatkan pengesahan status tanah mereka.

Mungkin kampung ini tak sepopular kampung lain tetapi kampung mempunyai sejarah tersendiri di mana terdapat ramai pejuang kemerdekaan yang tinggal di sini.
Kampung ini telah lama terbina sejak dari ayah saya lagi kami semua telah tinggal di sini. Permohonan telah kami buat sejak tahun 1960an lagi dan berulang kali kami memohon tanah ini tapi masih tidak terjawab berkenaan status tanah ini.
Hari ini kami mendapat khabar berita bahawa ada pihak yang mahu membangunkan tanah ini dan pastinya kami akan diusir keluar dari kampung ini. Rumah yang kami bina pasti akan dirobohkan.


Permohonan Tanah Telah Lama Dibuat, Tapi Tiada Penyelesaian Kerajaan Dahulu

Menurut bekas Ketua Kampung itu lagi, permohonan yang dilakukan oleh penduduk kampung pada kali terakhir berlaku pada tahun 2000 yang lalu namun sehingga kini masih tidak mendapat jawapan.

Dalam pada masa yang sama, seorang lagi penduduk kampung Pungut Sandiman, 76, berkata tanah itu sebelum ini adalah hutan belukar dan generasi pertama kampung itu telah meneroka tanah berkenaan untuk dijadikan rumah mereka.

Pelbagai janji telah kami dengar dari kerajaan sebelum ini namun apa yang berlaku adalah perkara yang masih tergantung tanpa ada sebarang jawapan yang pasti.
Kami telah membuat bayaran untuk ukur tanah dan pelbagai kos berkenaan tanah ini telah dikeluarkan namun sehingga kini penempatan kami masih tidak sah.
Kami tidak ada rumah lain dan umur kami pun semuanya telah tua bagaimana kami mahu mencari rumah lain untuk berpindah sekiranya rumah kami dirobohkan. Perlu ada pihak yang bertanggungjawab menyelamatkan kami.
Pastinya kami sedih kerana jasa kami kepada negara dibalas dengan pengusiran sebegini. Akhirnya kami terpaksa merempat di bumi sendiri.

Dalam tinjauan rata-rata penduduk kampung yang ditemui merayu agar kerajaan negeri memberikan atau mengurniakan tanah tersebut secara sah.


MD

Post a Comment

0 Comments