MP PAS - Tragedi Memali "Cerita Lama", PAS Tidak Lagi Berdendam

Seorang lagi pemimpin kanan PAS mengulas mengenai tragedi Memali dengan nada lebih lunak walaupun ia pernah menjadi satu daripada isu yang disebut-sebut suatu ketika dulu.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Khairuddin Aman Razali, berkata kejadian yang mengorbankan berbelas penyokong parti itu di kawasan pedalaman Kedah itu adalah cerita lama.

Malah menurut anggota parlimen Kuala Nerus itu, PAS tidak lagi berdendam terhadap kejadian tersebut.

Seperti dipetik Sinar Online, Khairuddin menggunakan sejarah zaman Rasulullah SAW untuk menjelaskan sikap terbaru PAS.

Misalnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, seorang wanita - Hindun binti Utbah - membunuh bapa saudara Rasulullah, Hamzah bin Abdul Muttalib dengan cara yang amat zalim hingga turut dibelah dada dan dipotong hidung.
Bagaimanapun, ketika pembukaan Makkah, Hindun memeluk Islam dan orang-orang kafir walaupun dulu mereka menentang Nabi Muhammad SAW tetapi kemenangan di Makkah mereka tunduk kepada Islam. Jadi tidak ada lagi dendam kepada (peristiwa) yang telah berlalu, katanya.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas PAS menandatangani piagam bersama dan melahirkan pakatan Muafakat Nasional dengan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Memali ialah sebuah petempatan yang menyaksikan insiden berdarah membabitkan pasukan keselamatan negara - yang ketika itu ditunjangi Umno, dan bersama BN - dengan penyokong PAS.

Hasil daripada pertembungan dua pihak terbabit seramai 18 orang - termasuk 14 anggota PAS - terbunuh dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. Turut terkorban, anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi tersebut.

Dr Mahathir Mohamad ialah perdana menteri ketika itu.

PAS mendakwa Operasi Angkara itu dilancarkan bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS. Anggota PAS yang terkorban dianggap syahid oleh PAS.

Dua hari sebelum Muafakat Nasional ditandatangani, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menjelaskan parti itu kini menganggap tragedi Memali sebagai "kecil" dengan adanya penyatuan dengan Umno.

Khairuddin berkata ketika ini PAS mahu menumpukan perhatian kepada isu yang lebih besar iaitu "menyelamatkan Islam" dan "menjatuhkan PH" yang didakwanya gagal menguruskan ekonomi serta melindungi Islam berbanding tragedi yang sudah jadi sejarah itu.

Sebelum ini Pengarah Komunikasi Amanah dilaporkan berkata tragedi Memali bukanlah perkara kecil.

Seperti dipetik Malaysia Dateline, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata perdamaian PAS dan Umno tidak mengubah realiti bahawa peristiwa berdarah mengorbankan 14 orang kampung dan empat anggota polis itu tetap pernah berlaku.

MK

Post a Comment

0 Comments