Untungnya Najib Dan Zahid Hamidi...

Piagam yang ditandatangani UMNO dan Pas semalam hanya memberi keutamaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin berkata, pada mulanya beliau menyangka keputusan dua parti Melayu terbesar itu datangnya daripada Pas ‘bagi memanfaatkan peningkatan kesedaran Islam’.

Bagaimanapun jelas sekarang dengan ‘ketua’ UMNO di depan, himpunan perpaduan itu diadakan untuk memberi keuntungan kepada individu ini dan penyokong mereka.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada Najib dan Ahmad Zahid yang kini berdepan beberapa kes rasuah di mahkamah.

Semalam Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam kerjasama antara dua parti itu dalam Himpunan Perpaduan Ummah yang dihadiri puluhan ribu penyokong kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Kadir menambah, bagi Najib dan Zahid serta penyokong fanatik serta pengampu mereka, perhimpunan itu merupakan kelegaan sementara daripada keadaan sebenar, iaitu pendakwaan rasuah sedang hadapi ketika ini.

Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu berkata, Pas ‘diseret’ bagi memberikan keabsahan kepada perhimpunan itu dan sebagai bukti persahabatan rapat antara Abdul Hadi dengan Najib.

Walaupun Hadi memainkan peranan ‘pembantu’ Najib dan Ahmad Zahid, Pas mungkin mendapat manfaat daripada kerjasama itu kerana kepemimpinan dan akar umbinya yang kukuh.
Sebelum ini Pas ‘berkahwin’ dengan UMNO berikutan pilihan raya umum 1969. Ia menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk membuka cawangan parti di kawasan tanah rancangan Felda sehingga menyebabkan UMNO kurang senang.
Pas ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn,” ujarnya.

Namun begitu kata Kadir, UMNO kelihatan terus berpecah berhubung kerjasama dengan Pas itu.

Menurut beliau, beberapa pemimpin penting parti itu ‘jelas tidak kelihatan’ dalam perhimpunan tersebut.

Utusan

Post a Comment

1 Comments

  1. Penyatuan demi kepentingan kuasa politik semata2 supaya dpt kembali sapu harta karun yg terbantut buat masa ini. Sorry, aku tak boleh terima sang korup/penyamun sbg khalifah aku

    ReplyDelete