Negara Bakal Huru-Hara Jika SOSMA Dimansuhkan

Kadar jenayah berat di negara ini mungkin meningkat di negara ini jika Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - atau Sosma - dihapuskan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata kemungkinan tersebut dapat dilihat selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan sebelum ini.

Katanya negara ini pernah menyaksikan kadar jenayah berat meninggal sejurus selepas ISA dimansuhkan.

Justeru, katanya, ketika negara berdepan dengan pelbagai acaman lain - termasuk Daesh dan pengganas lain - undang-undang seperti Sosma memang diperlukan.

“Bagi saya, demi keselamatan negara, kita perlukan undang-undang yang sedikit berbeza daripada undang-undang yang melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, menyatakan rang undang-undang (RUU) pindaan Sosma dijangka dibentangkan di parlimen pada sesi Julai namun ia tidak menjadi kenyataan.

Malah ia juga tidak dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat bagi sidang yang berjalan ketika ini.


Hanya perlu masa menyiasat

Isu gesaan pemansuhan undang-undang yang disifatkan sebagai drakonian itu dibangkitkan lagi apabila baru-baru ini polis menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut Shamrahayu, jika dibandingkan dengan ISA, akta yang dimansuhkan pada 2012 itu lebih berat berbanding Sosma.

Hal itu kerana, katanya, melalui Sosma seseorang suspek masih boleh dibicarakan di mahkamah meskipun polis berhak menahan mereka sehingga 28 hari.

ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 dan diganti dengan Sosma yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April 2012.

Sosma diberikan perkenan diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Melalui Sosma seseorang pegawai polis boleh - tanpa waran - menangkap dan menahan mana-mana tahanan selama 24 jam sahaja dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

Kata Shamrahayu, walaupun seseorang tahanan Sosma boleh ditahan sehingga 28 hari, lima hari sebelum itu polis perlu membawa kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk pertimbangan.

Menurutnya, masa yang sebegitu diperlukan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci.

Jadi orang kata, apabila tahanan tidak dibawa ke mahkamah dalam masa 24 jam itu zalim, keras, sebenarnya ia sangat jauh lebih baik berbanding ISA dulu, katanya.

PH dalam manifesto pilihan raya umum lalu berjanji memansuhkan undang-undang drakonian atau peruntukan-peruntukan zalim dalam beberapa akta termasuk Sosma yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Selain Sosma undang-undang lain yang dipertikaikan ialah Akta Perhimpunan Aman, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments