Nampaknya Husam Musa Kempunan Lagi...

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, gagal dalam tuntutan pengisytiharan hak terhadap bangunan Wisma Tok Guru yang terletak di Mukim Salor, Kelantan.

Ia susulan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini yang berpihak kepada PAS Kelantan.

PAS negeri diwakili Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff.

Salah seorang peguam yang mewakili Mohd Yasin, Nik Baharum Nik Abdullah, berkata dalam prosiding di depan Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hakim terbabit membenarkan permohonan mereka terhadap Husam melalui Kandungan 11 dan Kandungan 26 Kaedah-keadah Mahkamah 2012 (KM2012).

Menurutnya, Kandungan 11 adalah permohonan di bawah Aturan 14A KM2012 (penelitian kes berdasarkan isu undang-undang tanpa keperluan perbicaraan penuh) manakala Kandungan 26 adalah permohonan di bawah Aturan 18 KM2012 (permohonan untuk membatalkan keseluruhan saman Husam).

"Dengan itu pemilikan Wisma Tok Guru telah dimuktamadkan pemilikan dan hak untuk menikmatinya oleh Mohd Yasin," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Untuk rekod isu itu tercetus mulai Okt 2017 apabila PAS menghantar notis mengosongkan bangunan yang dijadikan pusat khidmat DUN Salor dan pejabat Amanah Kelantan.

Tapak itu asalnya dibeli bekas Adun Salor, Allayarham Ahmad Rosli Ibrahim, dan menamakan isterinya sebagai pemilik. Namun ia dijual kepada Mohd Yasin pada harga RM700,000.

Husam yang ketika itu merupakan wakil rakyat PAS kemudian membina dan mengubah suai bangunan di tanah tersebut sekali gus mendakwa mempunyai hak ke atas bangunan itu.

Susulan itu, Husam mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut pengisytiharan hak terhadap bangunan berkenaan, manakala Mohd Yasin menfailkan saman bagi mengarahkan Husam mengosongkan premis Wisma Tok Guru dan permohonan itu dibenarkan tanpa perbicaraan.

Husam yang kini naib presiden Amanah sebelum ini juga mengemukakan rayuan injunksi bagi menghalang PAS Kelantan menggunakan premis tersebut, namun Mahkamah Rayuan pada 6 Julai 2018 menolak injunksi berkenaan.

Sementara itu Nik Baharum berkata, dalam keputusan mahkamah itu Husam juga perlu membayar kos sebanyak RM10,000.

Katanya, setakat ini bagi keseluruhan kos sepanjang kes itu bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu perlu membayar RM47,000.

"Berdasarkan keputusan mahkamah hari ini memuktamadkan berpihak kepada anak guam kami dan Husam masih boleh membuat rayuan," katanya.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments