Jangan Gelabah Sangat. Benda Baru Nak Buat..

Kurang lima hari menjelang tahun 2020 yang bakal menyaksikan Pulau Pangkor menikmati taraf sebagai pulau bebas cukai sebagai strategi menjadi destinasi pelancong, PAS mengemukakan bantahan terhadap penjualan arak yang didakwa akan membawa kesan negatif.

Malah, kata Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abdul Rahman, penjualan arak secara bebas cukai itu bakal menjejaskan keharmonian bahkan keselamatan penduduk.

Portal rasmi parti itu, Harakahdaily memetiknya sebagai berkata kesan penjualan arak akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, pergaduhan dan keretakan rumah tangga, selain menyuburkan perlakuan jenayah dan maksiat.

Malah kata Rosli, lebih daripada itu, keburukan tersebut bukan hanya terhad kepada kesan di pulau tersebut, tetapi juga kawasan-kawasan di sekitarnya.

Portal itu turut memetik Rosli sebagai berkata, pihaknya terpanggil menyuarakan bantahan memandangkan Pulau Pangkor terletak dalam kawasan Lumut.

Pada 19 Disember lalu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, minuman keras seperti arak sedia dipertimbangkan untuk dijual di Pulau Pangkor jika terdapat permintaan.

Ini di sebalik pengumuman Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang pada 20 Oktober lalu berkata minuman keras tidak akan dibenarkan dijual di dalam kawasan yang bakal diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai (PBC) di Pulau Pangkor.

Mengulas lanjut, kata Rosli beliau berharap cadangan tersebut ditolak rakyat negeri itu khususnya penduduk parlimen Lumut.

“Amat malang sekali sekiranya cadangan daripada exco kerajaan nNegeri ini diterima.

“(Ini) seolah-olah kehabisan idea yang produktif untuk mempromosikan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Rosli, juga dipetik sebagai berkata pelbagai aktiviti lain yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan untuk menarik kedatangan pelancong daripada menjual arak secara bebas cukai.

Ini, katanya, seperti memperbaiki infrastruktur pulau, mempromosi sukan air lebih menarik dan pemuliharaan alam sekitar.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments